PLF bantu masyarakat luar bandar tingkat kemahiran hidup, urus kewangan

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN… Pegawai Kemas Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembangunan Murid) di Pejabat Pendidikan Daerah Baram, Asrul Abdullah, pada Program Graduasi Pendidikan Literasi Fungsian Hakiki Kampung Narum, Marudi.

MARUDI, 27 Oktober: Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) membantu masyarakat luar bandar meningkatkan kemahiran hidup, termasuk pengurusan kewangan, pengurusan kendiri dan literasi digital, bagi menghadapi keperluan kehidupan seharian.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi berkata, program itu bukan sekadar memberi penekanan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), malah turut membekalkan peserta dengan pengetahuan praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Menurutnya, PLF menyasarkan golongan dewasa dan belia tempatan yang tercicir daripada pendidikan atau belum menguasai kemahiran asas literasi.

“Contohnya, pengurusan kewangan diri atau keluarga, pemahaman borang rasmi, pendedahan awal kepada literasi digital, pengurusan rumah tangga dan keusahawanan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Graduasi Pendidikan Literasi Fungsian Hakiki Kampung Narum, Marudi yang berlangsung di Bilik Seminar Dewan Suarah, di sini, hari ini.

PESERTA kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) mempersembahkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) pada Program Graduasi Pendidikan Literasi Fungsian Hakiki Kampung Narum, Marudi.

Therry berkata, penguasaan kemahiran berkenaan juga dapat membantu peserta meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, program itu turut memupuk kesedaran sivik, kesihatan dan keselamatan, selain menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Sesungguhnya, kejayaan majlis ini tidak akan tercapai tanpa sokongan, kerjasama dan komitmen padu daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh peserta sepanjang mengikuti PLF dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan taraf hidup keluarga serta masyarakat setempat.

Seramai 12 peserta berjaya menamatkan pembelajaran PLF anjuran Unit Pembangunan Komuniti Kemas Baram.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembangunan Murid) di Pejabat Pendidikan Daerah Baram, Asrul Abdullah.

Oleh Jiku Juguong