Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 27 Oktober: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Selasa berikutan asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus menyokong unit tempatan itu dalam keadaan risiko geopolitik yang masih berterusan di Asia Barat, kata penganalisis.

Pada 8.00 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0840/0905 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0895 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan geopolitik di Asia Barat terus menjadi tumpuan berikutan pegawai dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye telah melawat Iran pada Isnin untuk mengadakan rundingan diplomatik.

“Perkembangan ini berlaku ketika anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat memulakan mesyuarat dua hari mereka hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.07 hingga RM4.09 berbanding dolar AS sepanjang bulan lepas susulan peniaga menilai risiko luaran dengan mengambil kira asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan terus menawarkan nilai kepada pelabur.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan mata wang tempatan mengekalkan trajektori semasanya hari ini, dengan perhatian pasaran kini beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 5 November, di tengah-tengah perbincangan yang semakin meningkat mengenai normalisasi Kadar Dasar Semalaman.

Ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5925/5968 daripada 2.5961/5988 semasa ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4497/4584 daripada 5.4517/4570 dan naik berbanding euro kepada 4.5631/5703 daripada 4.5774/5819.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya mencatatkan prestasi lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1881/1935 daripada 3.1920/1954 semasa ditutup semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 225.2/225.6 daripada 225.3/225.5.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.0868/1110 daripada 12.0766/0930 manakala tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.39/6.40.- Bernama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran