Pendirian Sarawak tidak berubah, kekal tolak kemasukan Rohingya – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak bercakap ketika ditemui pemberita selepas merasmikan SUF 2.0 HEEC, Kuching. Foto Masrin Affirah

KUCHING, 26 Oktober: Kerajaan Sarawak kekal dengan pendirian untuk menolak kemasukan Rohingya ke negeri ini dengan menggunakan kuasa imigresen yang dimilikinya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendirian itu tidak berubah kerana kerajaan negeri sejak awal lagi menolak kemasukan golongan berkenaan.

“Kita tidak ada Rohingya kerana kita menolak dari awal, jadi kita tidak ada masalah kerana Rohingya tidak ada di sini.

“Kalau ada di sini, itulah yang menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Sarawak 2.0 (SUF 2.0) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak mempunyai kuasa imigresen sendiri untuk mengawal kemasukan individu dari luar, khususnya mereka yang tidak mempunyai tujuan yang jelas.

“Kita ada kuasa imigresen, jadi kalau orang datang tanpa tujuan yang jelas, kita gunakan kuasa kita.

“Kalau mereka datang untuk tujuan ekonomi atau sebagai pekerja asing, itu tertakluk kepada peraturan,” katanya.

Pada September 2017, Abang Johari yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Sarawak menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan penempatan pelarian Rohingya di Sarawak susulan dakwaan mengenai rancangan membawa golongan berkenaan ke Serian dan Bau.

Pendirian itu mencetuskan perdebatan di media sosial dan menerima kritikan daripada sebahagian pengguna. Bagaimanapun, maklumat mengenai identiti serta lokasi pengkritik berkenaan tidak dinyatakan secara khusus.

Oleh Masrin Affirah