Pemandu Kenari cedera dalam kemalangan di Meranek

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Foto JBPM

KOTA SAMARAHAN, 25 Oktober: Seorang lelaki berusia 34 tahun cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Perodua Kenari dan sebuah Proton Waja di Jalan Kampung Meranek, Taman Sri Tuang, di sini, petang tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.11 petang.

“Pemandu Perodua Kenari mengalami kecederaan tetapi tidak tersepit di dalam kenderaan, manakala pemandu Proton Waja dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi pada 5.26 petang sebelum memberikan rawatan awal kepada mangsa, termasuk memasang kolar serviks, membalut luka di bahagian lutut dan memasang alat sokongan anggota bawah.

Mangsa kemudian dibawa oleh Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Jantung Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan pada 5.55 petang selepas pasukan selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan memastikan keadaan di lokasi selamat.