KUCHING, 25 Oktober: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melawat keluarga remaja lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai mencederakan seorang lelaki warga emas menggunakan pisau di Kanowit.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihak JKM bersedia memberikan bantuan dan menyediakan laporan sekiranya diperlukan, namun tindakan lanjut perlu mengambil kira perkembangan siasatan polis.
“JKM dah pergi melawat keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan sama ada remaja berkenaan akan dikembalikan kepada keluarganya atau ditempatkan di institusi bergantung pada penilaian kes serta keputusan mahkamah.
Jelasnya, JKM tetap bertanggungjawab mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan kebajikan yang bersesuaian, manakala perkara yang melibatkan tindakan undang-undang perlu menunggu perkembangan daripada pihak polis.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun mengalami kecederaan ringan di bahu kiri selepas dipercayai dicederakan menggunakan pisau oleh remaja berkenaan di sebuah tandas awam di Kanowit pada 22 Oktober.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Kanowit.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Oleh Adele Rissa



