RM9 juta diperuntuk sasar 38,000 wanita jalani saringan mamogram

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri (tengah) bersama Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (kanan) selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto Adele Rissa

KUCHING, 25 Oktober: Kerajaan memperuntukkan RM9 juta bagi Program Subsidi Ujian Mamogram pada 2027 dengan sasaran memberi manfaat kepada 38,000 wanita yang layak di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu meningkat berbanding RM8 juta pada tahun ini bagi memperluas akses wanita kepada pemeriksaan awal kanser payudara.

“Sebab itulah kita mahu menyampaikan maklumat ini supaya wanita dapat segera mendapatkan pemeriksaan dan memanfaatkan peluang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026, di sini, hari ini.

DATO Sri Nancy Shukri melawat reruai pameran sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto Adele Rissa

Nancy berkata, Program Subsidi Ujian Mamogram yang diperkenalkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak 2007 merupakan antara inisiatif kerajaan untuk memperluas akses wanita kepada pemeriksaan awal kanser payudara.

Sehingga 30 September 2026, seramai 90,075 wanita di Sarawak telah mendapat manfaat daripada program berkenaan dan menjalani pemeriksaan, dengan 88 wanita didapati positif kanser.

Bagi memperluas akses kepada perkhidmatan pemeriksaan di Sarawak, sembilan pusat mamogram berdaftar disediakan menerusi kerjasama LPPKN dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

DATO Sri Nancy Shukri merakam kenangan bersama peserta sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto Adele Rissa

Pusat berkenaan terdiri daripada Pusat Pakar Perubatan Normah, Pusat Perubatan Borneo Kuching, Pusat Perubatan Timberland, Pusat Perubatan Rejang, Hospital Pakar KPJ Sibu, Hospital Kemena Pacific, Hospital Pakar KPJ Miri, Pusat Perubatan Borneo Miri dan Hospital Pakar KPJ Kuching.

Sementara itu, wanita yang tidak berkesempatan menghadiri program berkenaan boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kanser di tiga Klinik Nur Sejahtera LPPKN Sarawak, masing-masing di Kuching, Sibu dan Miri.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Penaung Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Oleh Adele Rissa