Rifdean mahu perkemas persiapan sebelum kembali ke gelanggang Disember ini

Facebook
WhatsApp
RIFDEAN ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini, ketika mengulas persiapan dan perancangannya untuk kembali beraksi dalam ONE Championship pada Disember ini.

KUCHING, 24 Oktober: Petarung Muay Thai profesional negara dari Petra Jaya, Rifdean Masdor, 23, berhasrat memperkemas persiapan bagi menghadapi kemungkinan kembali beraksi dalam ONE Championship pada Disember ini selepas tewas kepada petarung Jepun, Nadaka Yoshinari, di Tokyo minggu lalu.

Rifdean berkata, beliau masih belum mengetahui identiti lawan yang bakal dihadapinya, namun mahu memastikan persiapan kali ini berjalan lebih lancar dengan sokongan penuh pasukannya.

Menurutnya, beliau hanya akan bercuti selama dua hari di Sarawak sebelum kembali menjalani latihan bagi menghadapi pertarungan seterusnya.

“Pertarungan seterusnya mungkin berlangsung pada Disember ini, tetapi saya belum pasti siapa lawan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kuala Lumpur, hari ini. Ketibaannya disambut oleh keluarga dan rakan-rakan.

Mengulas kekalahannya kepada Nadaka pada ONE Samurai 4 di Tokyo, Jepun, pada 17 Oktober lalu, Rifdean mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun menerima hakikat bahawa kesilapan sendiri menjadi punca kekalahannya.

Katanya, persaingan pada peringkat tertinggi tidak memberi ruang kepada petarung untuk melakukan kesilapan kerana setiap kelemahan boleh dimanfaatkan oleh lawan.

“Alhamdulillah, saya masih sihat dan masih diberi peluang untuk terus berjuang. Cuma saya sedih kerana kalah disebabkan kesilapan sendiri.

“Apabila sudah berada pada peringkat tinggi, sesiapa yang melakukan kesilapan pasti akan menerima akibatnya. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dalam pertarungan akan datang,” katanya.

Menyentuh persiapan pasukan, Rifdean berharap semua anggota pasukannya dapat mengiringinya dalam pertarungan akan datang selepas mereka tidak dapat bersamanya ketika beraksi di Jepun.

RIFDEAN disambut keluarga dan rakan-rakan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Katanya, ketiadaan pasukan sokongan pada pertarungan lalu berlaku atas sebab tertentu yang tidak dapat didedahkan, namun beliau mahu memastikan perkara itu tidak berulang.

“Insya-Allah, untuk pertarungan seterusnya, semua anggota pasukan akan bersama saya. Sebelum ini, setiap kali saya bertarung, pasukan sentiasa ada. Cuma ketika di Jepun, saya tidak dapat bersama mereka atas sebab tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rifdean berkata hubungannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, kembali baik selepas kedua-dua pihak berbincang dan menyelesaikan perkara berbangkit sebelum ini.

Menurutnya, Chatri memaklumkan bahawa beliau perlu memenangi pertarungan seterusnya sebelum berpeluang mencabar Nadaka sekali lagi.

Rifdean turut menjelaskan bahawa kenyataan Chatri sebelum ini yang menyifatkan peluang untuk mengadakan pertarungan semula sebagai sifar mungkin dibuat ketika keadaan emosi, sebelum penjelasan lanjut diberikan selepas kedua-dua pihak berbincang.

Beliau turut mengesahkan bahawa kontraknya bersama ONE Championship masih berjalan dan masih mempunyai beberapa pertarungan lagi bersama organisasi itu.

Rifdean juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan petarung lain dari Sarawak bagi memperkukuh persiapan dan meningkatkan mutu sukan tempur tempatan.

Katanya, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana petarung tanpa mengira latar belakang atau pasukan masing-masing.

Mengulas perjalanan kariernya, Rifdean berkata usianya yang masih muda memberi ruang untuk terus memperbaiki kemampuan dan membina masa depan dalam arena sukan tempur antarabangsa.

Beliau berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk terus bekerja keras, menjalani latihan dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

Oleh Afiq Sallehi