SIMANGGANG, 24 Oktober: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahu kanan selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabas ke dalam parit di tepi jalan utama di Bukit Temudok, petang tadi.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.16 petang.
Susulan itu, tiga anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas ke dalam parit di tepi jalan utama.
Pemandu lelaki berkenaan berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan berada di tepi jalan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengadu sakit pada bahu kanan, manakala tiada kecederaan lain dilaporkan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut laporan komander operasi, mangsa diserahkan kepada pihak hospital dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abang Mohd Faizadliee Abang Shahyan. Lokasi kejadian dianggarkan kira-kira satu kilometer dari BBP Sri Aman.
Oleh Adi Safarman





