OCR-VA modenkan pengurusan pilihan raya, jimat kos dan masa – SPR

Facebook
WhatsApp
SISTEM OCR-VA mempercepat rekod kehadiran pengundi.

KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Pelaksanaan teknologi Pengecaman Aksara Optik – Kehadiran Pengundi (OCR-VA) merupakan langkah berterusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memodenkan pengurusan pilihan raya di Malaysia, selain berpotensi mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata sistem itu membolehkan kehadiran pengundi direkodkan secara digital berbanding kaedah manual yang digunakan sebelum ini, serta membolehkan data kehadiran dipantau secara masa nyata.

“OCR-VA ni sebenarnya merupakan satu usaha SPR untuk memodenkan pengurusan pilihan raya di Malaysia. Sebab apabila kita teliti amalan sekarang, terdapat banyak perkara yang boleh kita perbaiki, terutamanya sekali apabila kita melihat tentang cabaran untuk mendapatkan petugas dan kos yang semakin meningkat.

“Jadi, kita percaya OCR-VA ini jika ia bersesuaian, dapat memberi kesan yang positif dalam mengurangkan kos dan memudahkan pengurusan pilihan raya di Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam sesi temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Khairul Shahril berkata sistem tersebut telah diuji di satu pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini, dan kini projek rintis tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri bagi PRN Melaka.

Beliau berkata sistem berkenaan tidak mengubah proses pilihan raya termasuk proses pengiraan undi, sebaliknya hanya memodenkan kaedah semakan dan pendaftaran kehadiran pengundi di pusat mengundi.

“Dari segi ketelusan, kita perlu ingat bahawa OCR-VA ni bukan untuk menukar proses pilihan raya. Tujuan utamanya adalah untuk membolehkan kita merekodkan kehadiran pengundi dengan lebih efisien dan lebih teratur.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh OCR-VA ini adalah sama dengan apa yang sedang dipraktikkan di setiap pilihan raya, iaitu ada ejen-ejen parti, petugas-petugas di pusat-pusat mengundi yang diberi buku daftar pengundi untuk menyemak kehadiran pengundi, tetapi dengan OCR-VA ini, proses tersebut didigitalkan. Dari segi keputusan ia bukan tujuan utama OCR-VA ini,” katanya.

Mengenai aspek keselamatan data peribadi dan integriti, Khairul Shahril berkata kawalan keselamatan maklumat pengundi adalah terjamin dan boleh diperketatkan lagi melalui pemprosesan secara elektronik berbanding kaedah fizikal ataupun manual.

Katanya, memandangkan OCR-VA masih dalam peringkat perintis, SPR akan mengekalkan kaedah penggunaan dua sistem, OCR-VA dan manual pada PRN Melaka sehinggalah satu keputusan muktamad dibuat untuk menggunakannya secara meluas. – Bernama