Abang Johari ketengahkan peranan Sarawak dalam sejarah penemuan saintifik dunia

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyentuh kaitan Sarawak dengan sejarah penemuan saintifik dunia menerusi kajian Alfred Russel Wallace serta pengiktirafan antarabangsa terhadap tapak warisan di Sarawak.

KUCHING, 23 Oktober: Peranan Sarawak dalam sejarah penemuan saintifik dunia wajar terus diketengahkan, termasuk menerusi kajian ahli naturalis Alfred Russel Wallace di wilayah ini dan pertukaran idea beliau dengan Charles Darwin.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wallace pernah menjalankan kajian terhadap rama-rama di Sarawak, manakala pertukaran idea antara kedua-dua tokoh itu menjadi sebahagian daripada perkembangan pemikiran saintifik yang memberi kesan kepada pemahaman tentang evolusi spesies.

Beliau berkata, sejarah berkenaan menunjukkan Sarawak mempunyai kaitan dengan perkembangan ilmu sains dunia dan kepentingannya perlu terus diperkenalkan kepada generasi akan datang.

Menurutnya, penemuan saintifik serta tapak yang mempunyai nilai sejarah merupakan sebahagian daripada warisan yang perlu dipelihara agar sumbangannya terhadap perkembangan ilmu terus dihargai.

Abang Johari turut mengetengahkan pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan Sarawak, termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Taman Negara Niah yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Taman Negara Gunung Mulu diiktiraf atas kepentingan biodiversiti dan ciri geologinya, manakala Kompleks Gua Taman Negara Niah mempunyai bukti arkeologi yang merekodkan interaksi manusia dengan hutan hujan tropika sejak sekurang-kurangnya 50,000 tahun lalu.

Beliau berharap Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak (ICOMOS) dapat membantu menyampaikan kepentingan monumen, tapak warisan dan penemuan saintifik kepada generasi muda supaya nilai sejarahnya terus difahami serta dipelihara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS ke-22 Tahun 2026 (GA2026) di Kuching, hari ini. 

Oleh Afiq Sallehi