KUCHING, 23 Oktober: Seperti anak-anak sungai yang bercantum menjadi satu aliran menuju ke laut, kepelbagaian etnik dan agama di Sarawak membentuk identiti bersama yang menjadi asas keharmonian masyarakatnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbezaan latar belakang budaya dan kepercayaan tidak menghalang masyarakat Sarawak untuk bersatu, sebaliknya menyumbang kepada pembentukan budaya dan visi bersama.
Beliau menggunakan analogi aliran sungai yang membawa pelbagai warna dari anak sungai sebelum bercantum menjadi satu warna apabila sampai ke laut bagi menggambarkan bagaimana kepelbagaian masyarakat dapat membentuk kesatuan.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Abang Johari berkata, keterangkuman sosial penting dalam memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara, manakala usaha pembangunan perlu turut mengambil kira hubungan manusia dengan alam sekitar.
Beliau menegaskan kelestarian alam sekitar perlu bergerak seiring dengan pembangunan manusia, mencerminkan keperluan menyeimbangkan kemajuan masyarakat dengan tanggungjawab menjaga persekitaran.

PCDS 2030 merupakan hala tuju pembangunan Sarawak menjelang 2030 yang menggabungkan pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai asas pembangunan wilayah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS ke-22 Tahun 2026 (GA2026) di sini, hari ini.
Perhimpunan yang berlansung selama lapan hari itu menghimpunkan kira-kira 1,800 perwakilan dari 110 negara bagi membincangkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya di peringkat antarabangsa.
Oleh Afiq Sallehi




