Pili bomba baharu perkukuh keselamatan kebakaran di Bukit Assek

Facebook
WhatsApp
UNTUK KESELAMATAN... Joseph Chieng Jin Ek menyaksikan penyerahan projek pemasangan pili bomba baharu kepada pihak kontraktor di Jalan Tiong Hua turut kelihatan Jerry Jelani Bandang.

SIBU, 23 Oktober: Kekurangan kemudahan pili bomba di beberapa lokasi sekitar kawasan Bukit Assek akan ditangani menerusi pemasangan 10 unit baharu bernilai RM100,000 bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kebakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, lokasi pemasangan dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Menurutnya, pemasangan itu penting bagi memastikan penduduk mempunyai akses kepada kemudahan bekalan air untuk operasi memadam kebakaran serta membantu melindungi nyawa dan harta benda.

“Ini amat penting kerana kita mahu membina keyakinan penduduk bahawa pili bomba di kawasan mereka dapat berfungsi dengan baik apabila diperlukan,” jelasnya kepada pemberita pada majlis penyerahan projek pemasangan pili bomba baharu tersebut di Jalan Tiong Hua, pagi tadi.

Beliau memberitahu, antara cabaran yang dihadapi di kawasan itu ialah keadaan tanah gambut yang boleh menyebabkan sambungan paip terputus, selain kerosakan dan perbuatan vandalisme terhadap pili bomba.

“Keadaan tersebut menyukarkan kerja penyelenggaraan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan kemudahan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat membantu pihak bomba menjaga kemudahan berkenaan menerusi inisiatif Rakan Pili Bomba.

Joseph berkata, projek yang bermula pada 16 Oktober itu dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.

“Antara lokasi pemasangan ialah Jalan Tong Sang Lorong 3 dan Lorong 4, Lorong Bukit Assek 6, Jalan Bukit Assek, Jalan Tiong Hua serta Lorong Lai Chee,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan penyelarasan pengurusan trafik dan langkah keselamatan sepanjang pelaksanaan projek, khususnya pada waktu malam.

Katanya, pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan setiap pili bomba berfungsi dengan baik dan mempunyai tekanan air mencukupi Ketika diperlukan untuk  operasi kecemasan.

Turut hadir ialah Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Jerry Jelani Bandang.

Oleh Akun Giman