SARATOK, 23 Oktober: Polis mengesahkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga Pemangku Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Betong maut dalam kemalangan motosikal di Kilometer 441.6 Lebuh Raya Pan Borneo arah Sarikei, berhampiran Berayang, Roban, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda NSS250 berwarna merah itu berlaku kira-kira 10.52 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kanan jalan sebelum bergesel dengan besi penghadang di tengah lebuh raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas ambulans Roban yang tiba untuk memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenytaaan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei bagi menjalani bedah siasat.
DSP Mathew berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal dengan baik sehingga hilang kawalan dan terbabas ke arah penghadang jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengawal kenderaan dengan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman





