SIBU, 23 Oktober: Tan Ming Thai muncul juara kategori perseorangan terbuka pada Kejohanan Karom Terbuka Sibu 2026 yang berlangsung di Wisma UCA di sini, baru-baru ini.
Beliau turut merangkul kejuaraan kategori beregu terbuka bersama pasangannya, Ngui Yang Shyan, sekali gus mencatat kejayaan berganda dalam kejohanan anjuran Kelab Karom Swan Sibu itu.
Dalam kategori perseorangan terbuka, Iing Shii Ngie menduduki tempat kedua, manakala Shahrizan Sharif di tempat ketiga dan Ngui Yang Shyan di tempat keempat.
Bagi kategori beregu terbuka, pasangan Ngu Thou Yaw dan Shahrizan Sharif menduduki tempat kedua, diikuti Iing Shii Ngie dan Daniel Lim Chuong Wee di tempat ketiga.
Tempat keempat pula disandang pasangan Tiong King Huat dan Jerome Yong Chung Fui.
Presiden Kelab Karom Swan Sibu, Iing Shii Ngie berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan menentukan pemenang, malah menyediakan ruang kepada pemain untuk meningkatkan kemahiran, menimba pengalaman dan mengeratkan hubungan dalam komuniti sukan.

“Karom memerlukan ketepatan, tumpuan, strategi, kesabaran serta kawalan emosi, sekali gus menjadikan pertandingan seumpama ini penting dalam meningkatkan keupayaan pemain.
“Kemenangan dan kekalahan adalah sebahagian daripada pertandingan. Apa yang paling penting ialah pengalaman, persahabatan dan semangat kesukanan yang kita bina bersama,” katanya.
Kejohanan itu turut mendapat sokongan Dana Sukan Komuniti di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan serta mengamalkan gaya hidup aktif.
Iing berharap penganjuran kejohanan itu dapat menarik lebih ramai golongan muda dan masyarakat setempat untuk menceburi sukan karom, sekali gus membantu mengembangkan sukan berkenaan di Sibu dan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KBS atas sokongan yang diberikan, selain jawatankuasa penganjur, sukarelawan, peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan itu.
Katanya, beliau berharap kejohanan berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan berkembang menjadi antara pertandingan karom yang dinanti-nantikan di Sibu dan Sarawak.
TARANI LANTING





