PETRA JAYA, 21 Oktober: Kerajaan Sarawak menjelaskan kemerosotan hasil negeri pada 2025 berpunca daripada pergolakan ekonomi global, kelemahan pasaran komoditi dan penurunan harga petroleum, bukannya kegagalan dasar atau pentadbiran kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sebagai ekonomi terbuka dan negeri pengeluar petroleum, Sarawak tidak dapat mengelak daripada menerima kesan perubahan pasaran global yang turut berlanjutan hingga 2026.

Menurut beliau, penyediaan belanjawan dibuat berdasarkan maklumat ekonomi dan unjuran terbaik yang tersedia pada ketika itu, namun kejutan luaran boleh menyebabkan kerajaan perlu menyesuaikan jangkaan hasil serta keperluan perbelanjaan.
“Sebagai sebuah negeri pengeluar petroleum, Sarawak tidak dapat mengelak daripada mengalami pengurangan hasil berkaitan petroleum. Keadaan ini bukan disebabkan oleh kegagalan dasar atau pentadbiran, sebaliknya merupakan kesan langsung daripada keadaan luaran yang tidak menguntungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu II pada persidangan hari kelapan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata, kerajaan memilih untuk memperkukuh bantuan kepada rakyat ketika berdepan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, termasuk menyalurkan hampir RM500 juta menerusi Skim Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada semua penerima yang layak.
“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Mereka tidak meninggalkan rakyat hanya kerana keadaan ekonomi menjadi semakin mencabar”, katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemulihan harga minyak mentah Brent pada 2026 tidak semestinya meningkatkan hasil negeri secara automatik kerana hasil petroleum turut dipengaruhi jumlah pengeluaran, harga jualan sebenar, corak eksport, permintaan pasaran dan masa urus niaga dilaksanakan.
Katanya, penilaian prestasi hasil negeri perlu mengambil kira keseluruhan faktor berkenaan dan tidak hanya bergantung pada pergerakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa.
Untuk rekod, Sarawak merekodkan kutipan hasil sebanyak RM12.553 bilion pada 2025, melebihi unjuran hasil yang disemak semula kepada RM12.076 bilion sebanyak RM477 juta atau kira-kira empat peratus.
Unjuran asal hasil negeri bagi tahun berkenaan ialah RM14.201 bilion sebelum disemak susulan prospek sederhana sektor minyak dan gas serta ketidaktentuan pasaran komoditi global.
Dalam pada itu, Uggah berkata bantuan kepada rakyat terus ditambah baik pada 2026 melalui peluasan kelayakan dan peningkatan peruntukan SKAS.
Kerajaan negeri turut memberikan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus turut diberikan bagi meringankan perbelanjaan isi rumah, manakala diskaun sewa premis perniagaan diperkenalkan untuk membantu penjaja, peniaga dan perusahaan kecil.
“Langkah-langkah ini memerlukan perbelanjaan. Semua ini merupakan pilihan dasar yang dibuat secara sengaja untuk melindungi rakyat dan menyokong daya tahan ekonomi dalam persekitaran global yang semakin mencabar”, katanya.
Beliau berkata, kejayaan pentadbiran kerajaan bukan sekadar diukur berdasarkan angka hasil, tetapi juga melalui usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memastikan pembangunan negeri terus berjalan.
Oleh Shikin Mahmud




