KOTA SAMARAHAN: Proses penghantaran pulang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon Sarawak diteruskan dengan menyaksikan 62 pelajar IPT dihantar pulang ke destinasi masing-masing menggunakan empat buah pengangkutan bas, pagi semalam.
Daripada jumlah tersebut, 55 pelajar adalah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej iSystem dan Sarawak Skills masing-masing tiga (3) pelajar, manakala AsiaMet (1).
Pelepasan bas yang menghantar pulang pelajar IPT Zon Sarawak semalam bermula dari kampus UNIMAS dan menuju ke Simunjan, Sri Aman, Betong, Sibu, Bintulu dan Miri.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi sempat melawat pelajar berkenaan sebelum pelepasan dan memberi sepatah dua kata kepada pelajar mengenai keselamatan diri dan menasihatkan pelajar supaya terus akur dengan arahan yang ditetapkan.
Beliau turut meminta pelajar supaya bersabar dan tidak berputus asa sebaliknya memahami situasi negara berdepan dengan krisis wabak Covid-19 pada masa ini.
Beliau juga berharap supaya pelajar sentiasa peka dengan corak pembelajaran dalam talian yang diperkenalkan oleh hampir semua IPT di negara ini supaya tidak ketinggalan dalam pengajian masing-masing.
Sementara itu, sebelum pelajar memasuki bas yang ditetapkan, mereka (pelajar) terlebih dahulu menjalani saringan kesihatan termasuk beg yang dibawa dan bas turut disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pegawai-pegawai UNIMAS lain.
Pegawai-pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memberi penerangan kepada pelajar berkenaan berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial dan pemakaian topeng mulut dan hidung sepanjang perjalanan dan sebaik sampai ke destinasi masing-masing.
Pelajar berkenaan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang perubahan tempat duduk di dalam bas atau mengubah laluan destinasi asal mereka.
Setiap bas yang terlibat dalam penghantaran pulang pelajar disertai oleh dua pemandu dan seorang Pegawai Perhubungan UNIMAS sepanjang perjalana sehingga ke destinasi yang dituju.
UNIMAS diberi tanggungjawab sebagai Koordinator untuk menyelaras pengangkutan bagi program menghantar pulang pelajar IPT Zon Sarawak ke bahagian-bahagian di Sarawak/Sabah dan Semenanjung Malaysia, selepas mereka menetap di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak 18 Mac 2020.