OYA: Dorongan minat untuk dijadikan sebagai kerjaya, seorang usahawan wanita di Kapung Teh di sini telah membuat keputusan untuk membuka premis peniagaan.
Setelah menyedari bahawa hasil tangannya mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, Nurhaniza Shamat, 29, tanpa ragu, memperluaskan bidang pastry yang kini diusahakan sejak tahun 2019.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyatakan peniagaan usahawan wanita ini hanya bermula sekadar minat pada mulanya dan tidak menjangka mendapat perhatian daripada penduduk tempatan sekali gus member sumber pendapatan yakni sebuah kerjaya.
“Dengan hanya minat dalam bidang pastry, usahawan tersebut seterusnya mencuba untuk menjual hasil pastry itu secara suka-suka, namun apabila jualannya mendapat sambutan yang menggalakkan, beliau mula membuka premis untuk membuat dan menjual produknya itu,” katanya lagi.
Memandangkan pastry atau pemanis mulut seperti kek dan dessert keluarannya mendapat respons yang amat memberangsangkan, Nurhaniza menggaji dua pembantu pada pertengahan tahun lalu.
Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyatakan demikian sempena dengan lawatan beliau ke premis peniagaan usahawan tersebut pada hujung minggu lalu.
“Untuk menambahkan ilmu dalam bidang yang diceburi itu, Nurhaniza turut menghadiri pelbagai kursus yang diadakan agensi-agensi kerajaan, termasuk melalui atas talian. Bagi mempelbagaikan produknya, beliau juga menghasilkan kek dan pastry menggunakan resepi sendiri,” tambah Fatimah.
Kini beliau telah menjangkaui sasaran awalnya iaitu pelanggan sekitar Daerah Dalat dan Mukah sahaja .
“Kini beliau ada juga menerima tempahan dari Kuching. Akan tetapi, seperti biasa setiap usaha atau perniagaan pasti ada cabarannya, dan perkara itu tidak terkecuali buat usahawan dari Daerah Kecil Oya ini. Antara cabarannya ialah dari segi sumber bahan-bahan mentah yang agak sukar untuk diperolehi sehingga memaksanya untuk ke luar Mukah bagi mendapatkan keperluan tersebut,” ujar Fatimah lagi.
Selain itu, tambah wakil rakyat ini, tempahan daripada luar daerah berkurangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan membatasi pergerakan penghantaran beliau mahupun pelanggan untuk ke premis perniagaannya.
Harapan Nurhaniza adalah untuk mendapat lebih banyak pengetahuan dalam bidang diceburi dan mempelbagaikan produknya terutama dari segi memenuhi kemahuan atau selera pelanggan dan seterusnya untuk juga membuka premis di luar Bahagian Mukah demi mengembangkan peniagaan industri kotej berkenaan.
Oleh HENRY B SIYU