MTDC, UNIMAS meterai MoU bagi pertukaran pengetahuan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pada Rabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menggalakkan pertukaran pengetahuan dan pengalaman berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 (i4.0) antara kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata kerjasama itu bertujuan melengkapkan penuntut dan penyelidik Unimas dengan garis panduan, pengetahuan dan kemahiran i4.0 yang diperlukan.

“MTDC, dalam usaha untuk menyokong teknologi i4.0, penyelesaian dan pembangunan bakat tempatan, melihat penandatanganan MoU dengan Unimas ini sebagai perkongsian strategik dalam bidang teknologi, keusahawanan, khidmat nasihat, latihan industri penuntut dan pengambilan lepasan universiti sebagai pekerja.

“Kerjasama ini juga akan membolehkan MTDC bekerjasama dengan syarikat ekosistemnya untuk mula menaik taraf pusat-pusat di UNIMAS,” katanya dalam majlis penandatanganan MoU itu.

MoU yang ditandatangani oleh Norhalim mewakili MTDC dan Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Mohamad Kadim Suaidi itu menunjukkan kerjasama antara MTDC dan Pusat Industri Universiti (UnIC).

MTDC akan bekerja dengan 100 usahawan yang merupakan penuntut dan penyelidik di Unimas pada suku pertama 2022.

Mohamad Kadim berkata kerjasama itu merupakan antara inisiatif untuk kalangan penuntut Unimas mencapai kecemerlangan pendidikan menerusi langkah mengoptimumkan sumber daripada kedua-dua pihak bagi mencipta peluang dan memenuhi cabaran yang ditimbulkan pandemik Covid-19.

Beliau berkata ia menepati Pelan Strategik Unimas 2021-2025 yang menumpukan kepentingan kerjasama dengan industri.

“Penubuhan UnIC pada 2020 adalah tepat pada masanya, memandangkan universiti diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menjadi antara institusi penting dalam merealisasikan visi Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya. – Bernama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran

SKS 2026 di Sri Aman sasar 100,000 pengunjung

SIMANGGANG, 27 Oktober: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga