Jalan ladang Lingit, Anyut siap awal, mudahkan pekebun angkut hasil pertanian

Facebook
WhatsApp
SESI serah siap projek naik taraf jalan ladang telah diadakan di Lingit, Anyut. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 19 Oktober: Projek naik taraf jalan ladang di Lingit, Anyut yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual dijangka memberi manfaat besar kepada pekebun tempatan dengan melancarkan urusan pengangkutan hasil pertanian keluar dari kawasan kebun.

Projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana dalam usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kemudahan jalan yang lebih baik merupakan antara faktor penting dalam menyokong aktiviti ekonomi masyarakat, khususnya mereka yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

Menurut beliau, bagi para pekebun, proses membawa hasil keluar dari kebun merupakan sebahagian penting dalam rantaian pengeluaran pertanian.

“Jalan ladang yang lebih baik dapat membantu melancarkan pergerakan dan memudahkan urusan pengangkutan hasil, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur luar bandar tidak seharusnya dilihat dari aspek kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impaknya terhadap kegiatan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

“Kita mahu kemudahan yang disediakan memberi nilai tambah kepada kehidupan penduduk. 

“Apabila akses ke kawasan pertanian dipertingkatkan, usaha pekebun dapat disokong dengan lebih baik dan ini penting bagi memastikan ekonomi luar bandar terus berkembang,” ujarnya.

Projek naik taraf jalan ladang tersebut telah disiapkan sepenuhnya mengikut piawaian serta spesifikasi yang ditetapkan oleh JKR Betong dan berjaya mendahului jadual pelaksanaan yang ditetapkan. Sesi serah siap projek telah diadakan pada 15 Oktober lalu.

Sementara itu, wakil Rumah Panjang Lingit merakamkan penghargaan kepada Uggah atas peruntukan BDDA yang membolehkan projek berkenaan direalisasikan demi manfaat penduduk setempat.

Hadir pada sesi serah siap ialah wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong, Norasyimah dan Ezzalina Noh; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban; serta wakil kontraktor, Syarikat Langit Biru.

Oleh Adi Safarman