LIMBANG, 19 Oktober: Tabung Haji Cawangan Limbang akan memastikan semua bakal haji daripada Bahagian Limbang diberi persiapan lengkap sebelum berangkat menunaikan ibadah haji.
Seramai 150 orang bakal haji musim 1448H/2026M bagi Daerah Limbang telah diberi taklimat melalui perlaksanaan Kursus Asas Haji (KAH) yang diadakan selama dua hari di Masjid Jannatul Firdaus, Limbang bermula Sabtu lepas.
Pengurus Tabung Haji Cawangan Limbang, Musapir Abdullah, berkata kursus ini adalah sebagai langkah awal memperkukuh persediaan bakal haji daripada aspek ilmu dan kefahaman berkaitan ibadah haji.
“KAH merupakan antara program bimbingan haji yang memberi penekanan kepada penguasaan ilmu asas ibadah haji dan umrah, selain menyediakan panduan praktikal bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan awal dari segi ibadah, kesihatan dan pengurusan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata pengisian hari pertama merangkumi sejarah dan pengenalan Tanah Suci Makkah dan Madinah serta falsafah dan penyucian jiwa.
Pada hari kedua, peserta diberikan penerangan mengenai rukun haji, termasuk niat ihram, wuquf, tawaf, saie, bercukur atau bergunting serta tertib dalam pelaksanaan rukun haji.
Kursus itu turut dipantau oleh petugas Tabung Haji Cawangan Limbang bagi memastikan kelancaran program.
“Penganjuran kursus tersebut diharap dapat membantu peserta memahami tuntutan ibadah haji dengan lebih mendalam, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan mereka dari segi ilmu dan rohani sebelum menunaikan ibadah berkenaan,”katanya.
KAH turut mendapat kerjasama daripada Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang dalam perlaksanaan program itu sejak 2016 sehingga kini.
Hadir sama ialah Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang Mahmud Hamid.
Oleh Adeng Edrus




