KUCHING, 19 Oktober: Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan bin Ishak, menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Panel Penilai Perumahan Terbaik PDRM Zon Sarawak/Sabah, ACP Tey Kong Seng, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pagi tadi.
Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Panel Penilai Zon Sarawak dan Sabah bagi meningkatkan mutu penilaian serta pengiktirafan terhadap perumahan polis terbaik di negeri ini.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform perbincangan mengenai peranan PDRM dalam menyokong pembangunan komuniti yang lebih selamat, teratur dan harmoni, selain memastikan aspek keselamatan awam terus diberi keutamaan dalam penilaian projek perumahan.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman bagi meningkatkan keberkesanan sistem penilaian perumahan, khususnya dari aspek keselamatan komuniti, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir ialah Pegawai Turus Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sarawak, ACP James anak Jonathan, serta delegasi Panel Penilai Zon Sarawak dan Sabah.
Oleh Connie Chieng




