KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Tiada kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menjejaskan kemajuan pembinaan lebuh raya itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pembayaran bagi Fasa 1A dan Fasa 1B projek berkenaan dibuat selaras dengan kemajuan fizikal di tapak, dengan kadar pembayaran bagi kedua-dua fasa sama atau melebihi jadual yang ditetapkan.
Beliau berkata bagi Fasa 1A yang melibatkan 15 pakej kerja, kemajuan fizikal sebenar ialah 89.54 peratus berbanding 96.23 peratus yang dijadualkan, manakala pembayaran kewangan telah mencapai 88.78 peratus.
“Bagi Fasa 1B yang baru bermula, kemajuan fizikal mengikut jadual ialah 24.76 peratus, manakala kemajuan sebenar ialah 25.53 peratus.
“Dari segi kewangan, jadual pembayaran ialah 20.73 peratus, tetapi kami sudah membayar 22.11 peratus. Jadi, tidak ada isu dari segi pembayaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai dakwaan bahawa kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo berpunca daripada kegagalan membayar kontraktor mengikut kemajuan kerja sebenar serta pelantikan kontraktor yang tidak mempunyai kepakaran.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan terdapat isu berkaitan prestasi kontraktor yang perlu ditangani bagi memastikan projek itu berjalan lancar dan mengikut jadual.
Sehubungan itu, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) memperketat pemantauan menerusi mesyuarat bulanan bagi meneliti perkembangan projek serta menangani isu yang timbul.
“Sebelum ini, kami tidak pernah mengadakan mesyuarat sedemikian rupa. Mesyuarat kini dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Negeri Sabah, manakala Ketua Setiausaha KKR juga berada di Sabah setiap bulan bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata beberapa langkah mitigasi telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan projek Lebuh Raya Pan Borneo dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata langkah itu termasuk mempergiat pemantauan menerusi penubuhan dan pengukuhan Jawatankuasa Pemandu atau Pasukan Petugas Khas bagi menilai prestasi kontraktor, mengenal pasti punca kelewatan serta merangka penyelesaian terhadap isu yang berbangkit. – Bernama





