Pembangunan akar umbi kunci kesinambungan sukan sepak takraw – Roy Gingkoi

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi melakukan simbolik perasmian Kejohanan Sepak Takraw Terbuka 2026 Piala YB Roy Angau Gingkoi. Foto Pusat Khidmat Parlimen Lubok Antu

ENGKILILI, 18 Oktober: Kejohanan Sepak Takraw Terbuka 2026 Piala YB Roy Angau Gingkoi bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan pemain, malah berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu dan melahirkan pemain muda berpotensi di Engkilili.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, kejohanan itu memberi peluang kepada pemain tempatan mempamerkan kebolehan dan kemahiran masing-masing, selain membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan seperti itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan sepak takraw, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mempunyai bakat dan minat terhadap sukan berkenaan.

“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan bakat dan kemahiran pemain, malah turut membuka peluang untuk mencungkil bakat muda dalam sukan sepak takraw agar dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka 2026 Piala YB Roy Angau Gingkoi di Gelanggang Sepak Takraw Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, semalam.

Roy berkata, pembangunan akar umbi merupakan aspek penting bagi memastikan sukan sepak takraw terus berkembang dan melahirkan pemain berkualiti yang mampu mengharumkan nama daerah serta negeri pada masa hadapan.

ROY Angau Gingkoi merakamkan gambar bersama pasukan yang bertanding. Foto Pusat Khidmat Parlimen Lubok Antu

Bagi menyemarakkan saingan, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat kepada johan, manakala naib johan menerima RM1,000 berserta piala dan pingat.

Tempat ketiga bersama pula menerima wang tunai keseluruhan RM500, iaitu RM250 bagi setiap pasukan, selain pingat sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.

Penganjur turut menyediakan beberapa anugerah khas bagi mengiktiraf kecemerlangan individu, termasuk Pemain Paling Bernilai (MVP), Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik.

Roy turut menyeru semua pasukan supaya mengekalkan disiplin dan semangat kesukanan serta memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

“Saya berharap pertandingan ini akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai pemain muda berbakat serta menyemarakkan lagi perkembangan sukan sepak takraw di Engkilili pada masa hadapan,” ujarnya.

Oleh Adi Safarman