SIMANGGANG, 18 Oktober: Sukan bukan sekadar medan untuk mengejar kemenangan, sebaliknya berperanan penting dalam memupuk perpaduan, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, penganjuran aktiviti sukan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat mampu mengeratkan hubungan komuniti serta menyemarakkan semangat kebersamaan.
Menurut beliau, masyarakat Sri Aman yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang perlu terus memanfaatkan sukan sebagai medium untuk merentasi perbezaan dan mengukuhkan persaudaraan.
“Melalui sukan, kita dapat menyatukan hati serta membina hubungan yang lebih kukuh antara komuniti tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kejohanan Futsal Tertutup Piala Pusingan Kasut Emas Dato’ Sri Doris Sophia Brodie Edisi Ketiga Parlimen P.202 Sri Aman di Gelanggang Futsal RPR Taman Sentosa Indah, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, penaja, pemain dan semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran kejohanan itu, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat Sri Aman.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan sukan dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan mental, mengurangkan tekanan serta menggalakkan gaya hidup aktif, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Mengulas pencapaian peserta, beliau mengingatkan bahawa kemenangan sebenar bukan hanya diukur berdasarkan jumlah gol yang dijaringkan atau piala yang dimenangi.
“Sebaliknya, nilai saling menghormati, semangat kesukanan dan persahabatan yang terjalin sepanjang pertandingan merupakan kejayaan yang lebih bermakna dan berkekalan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejohanan itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih meriah bagi melahirkan masyarakat Sri Aman yang sihat, aktif dan bersatu padu.
Turut hadir ialah Pengerusi Pengelola Kejohanan, Kaunselor Sugom Sadai, Temenggong Leonard Libau, barisan ketua masyarakat Sri Aman, wakil agensi kerajaan serta pengurus pasukan.
Oleh Adi Safarman




