Data penyakit setempat jadi asas perancangan kesihatan Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar bersama tetamu kehormat pada majlis pelancaran Program Pengawasan Penyakit Sarawak (DSP) di Kampung Lubok Buntin, Gedong. Foto Ukas

GEDONG, 18 Oktober: Data penyakit mengikut lokaliti akan menjadi asas perancangan kesihatan di Sarawak bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan lebih bersasar, berdasarkan risiko sebenar dan keperluan penduduk setempat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Program Pengawasan Penyakit (DSP) yang dilaksanakan Pusat Penyakit Berjangkit (SIDC) membolehkan penyelidikan lapangan dijalankan bagi mengenal pasti corak penyakit serta faktor kesihatan yang mempengaruhi komuniti di kawasan berbeza.

Beliau berkata, corak penyakit di sesuatu kawasan tidak semestinya sama dengan lokaliti lain, sekali gus menjadikan pengumpulan data setempat penting dalam menentukan pendekatan kesihatan yang bersesuaian.

“Penyelidikan yang kita jalankan setakat ini menunjukkan bahawa penyakit di kawasan Kapit berbeza dengan di Serian. Melalui penyelidikan ini, kita dapat melihat trend penyakit di kawasan berkenaan.

“Selain itu, kita juga mungkin dapat menghasilkan ubat-ubatan tempatan daripada sumber biodiversiti kita yang boleh dimanfaatkan untuk mengurus penyakit-penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan DSP di Kampung Lubok Buntin, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, penggunaan makmal bergerak dalam program berkenaan turut membantu proses pengambilan sampel di lapangan, sekali gus membolehkan penyelidik memperoleh gambaran lebih tepat mengenai keadaan kesihatan penduduk.

ABANG Johari ketika sidang media selepas melancarkan Program Pengawasan Penyakit (DSP) di Kampung Lubok Buntin, Gedong. Foto Ukas

Sebagai contoh, pemerhatian awal di Kampung Lubok Buntin menunjukkan petunjuk berkaitan risiko jangkitan cacing yang mungkin mempunyai kaitan dengan faktor kebersihan dan pemakanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Dapatan sedemikian membolehkan langkah pencegahan dan pendidikan kesihatan dirancang mengikut risiko yang dikenal pasti, berbanding menggunakan pendekatan umum tanpa mengambil kira keadaan sebenar masyarakat setempat.

“Tujuan kita adalah untuk mendapatkan data sebenar supaya pembangunan kesihatan selari dengan keadaan di kawasan masing-masing.

“Jika tidak, kita hanya membuat andaian. Perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada penduduk kampung perlu berdasarkan data supaya intervensi yang dilaksanakan lebih bersasar,” katanya.

Program DSP akan diteruskan ke kawasan lain termasuk Kuching dan Serian bagi memperluas pengumpulan data serta memahami corak penyakit mengikut lokaliti.

Pendekatan itu diharap dapat membantu memperkukuh perancangan kesihatan Sarawak melalui pemahaman yang lebih terperinci mengenai keperluan penduduk di setiap kawasan.

Oleh Shahrul Qaizat

Kesihatan lebih berharga daripada kekayaan

SIBU, 17 Oktober: Kesihatan perlu diutamakan meskipun sibuk mencari rezeki dan memenuhi tuntutan kehidupan seharian kerana kesejahteraan diri merupakan asas