Kebakaran hutan: Indonesia hadkan akses pelancong ke penanjakan di Gunung Bromo

Facebook
WhatsApp
FOTO dirakam pada 15 Oktober lalu menunjukkan keadaan asap dan jerebu akibat kebakaran hutan di Palangkaraya, Tengah Kalimantan. Foto AFP

JAKARTA, 18 Oktober: Pihak berkuasa Indonesia mengehadkan akses pelancong ke Penanjakan, lokasi popular untuk menikmati panorama Gunung Bromo di Jawa Timur, susulan kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal di beberapa kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru.

Pihak berkuasa taman negara itu memaklumkan bahawa sekatan berkenaan berkuat kuasa mulai 9.30 malam waktu tempatan pada Sabtu, dengan perjalanan ke kawasan itu dihadkan setakat Lemah Pasar sehingga dimaklumkan kelak.

“Semua pelancong, pengendali pelancongan dan orang ramai digesa mematuhi sekatan berkenaan serta mengutamakan keselamatan semua pihak,” menurut notis yang dimuat naik pihak berkuasa itu di media sosial.

Menurut pihak berkuasa berkenaan, kebakaran bermula berhampiran Pusung Dawa di Probolinggo pada 13 Oktober lepas sebelum merebak ke kawasan taman negara itu.

Kebakaran berjaya dikawal pada keesokan harinya, namun api kembali marak pada 15 Oktober, mengorbankan empat anggota bomba dan sukarelawan serta menyebabkan dua yang lain cedera parah.

Secara berasingan, Kementerian Kehutanan melaporkan sebanyak 270 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 9.00 malam Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 92 titik panas. – Bernama