Hari Anestesia: Pakar bius bukan sekadar menidurkan pesakit

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Pengarah (Perubatan) II Hospital Miri, Dr Nur Natasya bin Sherimim, bersama tetamu melawat tapak pameran Sambutan Hari Anestesia Kebangsaan 2026 di Hospital Miri, hari ini.

MIRI, 17 Oktober: Peranan pakar anestesiologi bukan sekadar memberikan ubat bius kepada pesakit ketika pembedahan, malah turut memastikan keselamatan, kestabilan dan keselesaan pesakit sebelum, semasa dan selepas prosedur berkenaan.

Perkara itu menjadi fokus Sambutan Hari Anestesia Kebangsaan 2026 Peringkat Hospital Miri yang berlangsung di lobi utama Blok B, Hospital Miri, hari ini.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Miri, Dr Mustaffa Kamil Zainal Abidin, berkata tema sambutan tahun ini, “Sebelum, Semasa dan Selepas Pembedahan”, menekankan peranan menyeluruh pasukan anestesia dalam memastikan keselamatan pesakit sepanjang proses pembedahan.

Beliau berkata, pasukan anestesia bukan sahaja bertanggungjawab membuat persediaan sebelum pembedahan, malah memantau keadaan pesakit sepanjang prosedur serta membantu memastikan proses pemulihan berjalan dengan selamat selepas pembedahan.

Menurutnya, walaupun sering bertugas di sebalik tabir, sumbangan pakar anestesiologi amat penting dalam memastikan pesakit menerima penjagaan yang selamat dan berkualiti.

Selain mengendalikan pemberian anestesia, kepakaran dalam bidang itu turut merangkumi pengurusan kesakitan, rawatan kecemasan, rawatan rapi serta usaha menyelamatkan nyawa.

Sementara itu, sambutan berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) II Hospital Miri, Dr Nur Natasya bin Sherimim, yang mewakili Pengarah Hospital Miri.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada warga Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi atas dedikasi, komitmen serta usaha berterusan mereka dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit.

Beliau berharap sambutan itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bidang anestesiologi, selain mengukuhkan kerjasama dalam kalangan petugas kesihatan.

Program itu turut menampilkan reruai pameran daripada Unit Rawatan Rapi (ICU), Dewan Bedah, Perkhidmatan Sakit Akut (APS) dan Unit Pendermaan Organ bagi memberi peluang kepada pengunjung memahami dengan lebih dekat fungsi serta peranan setiap perkhidmatan berkenaan.

Aktiviti Zumba turut diadakan bagi memeriahkan sambutan dan menggalakkan penyertaan pengunjung.

Sambutan itu diharap dapat meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai peranan penting pasukan anestesia dalam memastikan keselamatan pesakit serta mengekalkan kualiti penjagaan kesihatan.

Oleh Liong Chai Ling

Kesihatan lebih berharga daripada kekayaan

SIBU, 17 Oktober: Kesihatan perlu diutamakan meskipun sibuk mencari rezeki dan memenuhi tuntutan kehidupan seharian kerana kesejahteraan diri merupakan asas