PUSA, 17 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.4 bilion bagi pembangunan luar bandar daripada keseluruhan RM10.098 bilion peruntukan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus memperkukuh komitmen untuk memastikan kemajuan negeri dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan besar itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperluas kemudahan asas, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, usaha berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup rakyat di seluruh Sarawak.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada majlis perasmian Regata Tandang Sari 2026 (Edisi Ketiga) di Dataran Tandang Sari, di sini, hari ini.
Selain memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kerajaan negeri turut memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif bantuan kewangan dan subsidi.
Antara inisiatif utama ialah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menerima peruntukan RM650 juta bagi 2027, dengan penerima yang layak terdiri daripada isi rumah B40 yang menerima RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375.

“Dalam memastikan kebajikan golongan warga emas terus terpelihara, kerajaan negeri turut meneruskan Manfaat Kesihatan Warga Emas dengan peruntukan RM50 juta.
“Menerusi inisiatif itu, warga emas yang layak daripada isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah boleh mendapatkan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 seorang setahun,” katanya.
Kerajaan negeri juga meneruskan Bantuan Ihsan Kematian melalui Kenyalang Gold Card dengan bantuan RM1,800 kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang, melibatkan peruntukan keseluruhan RM12 juta.
Bagi mengurangkan beban perbelanjaan bulanan isi rumah, diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus akan diteruskan sepanjang Januari hingga Disember 2027.
“Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 716,000 pengguna domestik dengan implikasi kewangan sebanyak RM281 juta.
“Pada masa sama, subsidi bil air sebanyak RM5 sebulan menerusi program air percuma dijangka memanfaatkan 600,000 pengguna domestik dengan peruntukan RM35 juta,” jelasnya.
Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan perubahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, pembukaan peluang ekonomi kepada golongan muda dan kesejahteraan keluarga.
“Justeru, pelaburan besar dalam pembangunan luar bandar serta kesinambungan pelbagai bantuan rakyat diharap dapat memastikan kemajuan Sarawak bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat, tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
“Pendekatan itu memperlihatkan usaha kerajaan negeri untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kebajikan rakyat, sekali gus membina Sarawak yang lebih makmur, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Oleh Adi Safarman




