Tiga dekad Hijjaz, Rindu Sumayyah terubat di Istana Negara

Facebook
WhatsApp
TIGA dekad menyampaikan mesej ketuhanan dan nilai murni menerusi bait-bait lagu, kumpulan Hijjaz membuktikan bahawa karya nasyid mereka tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas menerusi konsert Hijjaz 3 Dekad : Rindu Sumayyah di Istana Budaya baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,  17 Oktober: Setelah hampir tiga dekad mengalunkan lagu-lagu nasyid yang  menjadi santapan jiwa pendengar, kerinduan peminat untuk menyaksikan Hijjaz beraksi dalam konsert solo akhirnya terubat apabila kumpulan legenda itu tampil bersama-sama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya.

Menerusi konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah, kumpulan yang sinonim dengan lagu-lagu malar segar seperti Sumayyah dan Fatamorgana itu bukan sekadar mengajak peminat mengimbau nostalgia, malah membawa mereka menyusuri perjalanan seni yang mewarnai industri nasyid tanah air sejak 1997.

Sambutan hangat terhadap konsert dua hari yang bermula malam tadi, turut membuktikan pesona Hijjaz masih utuh apabila tiket dilaporkan habis terjual.

Membuka tirai dengan alunan Asmaul Husna, Hijjaz kemudian membawa penonton menelusuri perjalanan seni mereka menerusi tayangan montaj sebelum menyampaikan lagu-lagu ikonik seperti Bismillah dan Zapin Kesyukuran.

Keutuhan vokal mereka sejak awal persembahan memperlihatkan perjalanan tiga dekad tidak memadamkan pesona kumpulan itu, malah terus mengikat hati peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

MENERUSI persembahan malam itu, tirai dibuka santun dengan alunan Asmaul Husna serta tayangan montaj imbauan perjalanan seni mereka, sebelum diteruskan dengan trek ikonik seperti Bismillah, Zapin Kesyukuran, Dia Kekasih Allah, dan Pelita Hidup. Foto BERNAMA

“Sedar tak sedar, tiga dekad sudah kami berada di sini. Terima kasih kerana masih bersama-sama kami,” kata ahli Hijjaz ketika merakamkan penghargaan buat peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka.

Dengan kopiah bermotif geometri segi tiga berwarna kuning dan hitam yang menjadi identiti mereka sejak 1997, Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osmal dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim meneruskan persembahan menerusi lagu-lagu popular seperti Dia Kekasih Allah, Rasulullah dan Pelita Hidup.

Suasana semakin hangat apabila Fatamorgana berkumandang, lagu yang mengingatkan pendengar agar tidak terpedaya dengan keindahan dunia itu segera mengundang penonton menyanyi bersama-sama sehingga ruang konsert bergema dengan suara peminat yang menghafal setiap rangkap liriknya.

Daripada kemeriahan itu, suasana berubah syahdu apabila Hijjaz menyampaikan Kau Sahabat Kau Teman, lagu yang cukup dekat dengan hati mereka kerana dicipta bagi mengenang pemergian bekas ahli kumpulan itu, Allahyarham Mohd Salleh Ramli yang meninggal dunia pada Februari 2001.

Dihasilkan pada tahun yang sama dan dimuatkan dalam album Pelita Hidup II sebelum diberi nafas baharu pada 2021, lagu berkenaan menjadi luahan rasa kehilangan serta penghargaan terhadap ikatan persahabatan yang terus kekal meskipun dipisahkan oleh kematian.

“Lagu Kau Sahabat Kau Teman sebenarnya menceritakan tentang apa yang terbuku di hati kami mengenai arwah,” kata kumpulan itu, yang kini turut dianggotai Muhammad Ariffin bagi menggantikan Allahyarham.

Daripada momen penuh emosi itu, Hijjaz kembali menghidupkan suasana menerusi Mesra Desa sebelum memperkenalkan single terbaharu, Akhir Bersamamu, yang menggabungkan identiti nasyid mereka dengan sentuhan pop kontemporari dalam usaha mendekati generasi muda.

DARIPADA Fatamorgana yang mengingatkan pendengar agar tidak terpedaya dengan keindahan dunia, Rasulullah yang menzahirkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, hinggalah Sahabat Sejati yang mengangkat nilai persahabatan, lagu-lagu Hijjaz punya cara tersendiri untuk memberi impak kepada rohani pendengar. Foto BERNAMA

Lagu itu turut menampilkan susunan muzik lebih segar, termasuk penggunaan instrumen trompet yang memberikan warna berbeza kepada persembahan,  serta pengaruh muzik Bruno Mars yang diterapkan dalam karya berkenaan bagi menambahkan lagi kelainan.

Kemeriahan malam itu turut diserikan dengan kemunculan kumpulan dan penyanyi yang pernah mewarnai persada nasyid tanah air, termasuk Aeman, Mestica, UNIC dan In-Team, selain pengenalan generasi pelapis menerusi Hijjaz Junior yang dianggotai anak-anak ahli kumpulan itu.

Walaupun tampil sebentar, kehadiran mereka mengundang sorakan dan membawa kembali kenangan peminat menerusi lagu-lagu popular seperti Buatmu Ibu oleh Aeman, Puteriku Sayang (Mestica), Ainul Mardhiah (UNIC) dan Kasih Kekasih (In-Team), yang turut dinyanyikan penonton.

Kemuncak malam itu pastinya saat Hijjaz mendendangkan Sumayyah, lagu yang melonjakkan nama mereka dalam industri muzik tanah air, sebagai penutup persembahan.

Tiga dekad Hijjaz di dalam industri bukanlah perjalanan yang singkat. Namun, malam itu membuktikan bahawa pesona Hijjaz masih utuh, dengan lagu-lagu yang pernah menemani perjalanan hidup peminat terus hidup merentas generasi.- Bernama