SIBU, 17 Oktober: Berbekalkan pengalaman membesar dalam keluarga kurang berkemampuan sebelum meraih Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Pendidikan, Dr Ricky Lawe mengingatkan pelajar bahawa latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.
Ricky berkata, pendidikan merupakan landasan penting untuk mengubah masa depan diri dan keluarga, khususnya bagi pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkongsi pengalaman hidupnya sebagai bukti bahawa kesusahan bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya perlu dijadikan pendorong untuk terus berusaha mencapai cita-cita.
Ricky turut menerapkan teknik dalam Neuro Linguistic Programming (NLP) bagi membantu pelajar mengubah sudut pandang kepada pemikiran yang lebih positif.
Melalui paparan gambar dan aktiviti refleksi, pelajar dibimbing untuk bermuhasabah, meneroka kesedaran kendiri serta memikirkan kesan pilihan mereka terhadap masa depan.
Pendekatan yang menyentuh emosi itu turut mengundang rasa sebak dalam kalangan pelajar.
Ricky turut mengingatkan bahawa kejayaan dalam pelajaran bukan sekadar membuka peluang kepada diri sendiri, malah mampu membawa kegembiraan dan kehidupan lebih baik kepada keluarga.
Selain memiliki PhD dalam bidang Pengurusan Pendidikan, beliau juga mempunyai pensijilan dalam bidang Neuro Linguistic Programming
(NLP) dan sering diundang menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar sekolah.
Terdahulu, Ricky berkongsi pengalamannya itu menerusi ceramah motivasi bertajuk ‘Insaf Awal, Bahagia Masa Depan’ yang disertai 240 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena.
Ceramah tersebut bagi menyemarakkan semangat mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Kemena, Nasirin Adenan berharap program berkenaan dapat meningkatkan motivasi dan kesungguhan pelajar untuk belajar, sekali gus membantu mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini.
Oleh Akun Giman





