PETRA JAYA, 16 Oktober: Beting Maro menyasarkan pengembangan industri agromakanan melalui pemprosesan dan nilai tambah hasil pertanian bagi meningkatkan pendapatan petani, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperluas pasaran produk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, berkata pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC), dapur halal komuniti serta pusat komersial mampu memperkukuh rantaian nilai hasil pertanian di kawasan itu.
Beliau berkata, dua CPPC kelapa telah dibina dan beroperasi di Sepinang dan Batang Maro, manakala CPPC nanas serta CPPC gula apong masih dalam pelaksanaan.
Dalam masa sama, empat pusat komuniti Halal Kitchen sedang dibina di Beladin, Semarang, Sepinang dan Tambak, manakala dua lagi pusat komersial dirancang di Sepinang dan Beladin bagi meluaskan pasaran produk tempatan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang untuk memasarkan produk bernilai tinggi yang memenuhi standard global, malah berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan agromakanan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Dengan CPPC, nira nipah dan gula apong boleh dikembangkan sebagai produk premium. Kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara (VCO), santan, kerisik, cocopeat dan biochar.
“Nanas pula boleh dipelbagaikan kepada produk makanan dan minuman, manakala hasil perikanan boleh diperkukuh melalui pemprosesan, pembungkusan dan pengeluaran produk sejuk beku,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Razaili berkata, semakin banyak aktiviti pemprosesan dan nilai tambah dilaksanakan di Beting Maro, semakin besar manfaat ekonomi yang dapat dinikmati pengusaha serta masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi dalam pertanian bagi meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pengeluaran lebih konsisten dan menambah pendapatan petani.
Katanya, nilai teknologi bukan sekadar pada data yang dikumpulkan, sebaliknya pada sejauh mana data itu dapat digunakan untuk memperbaiki hasil di ladang dan meningkatkan pulangan kepada pengusaha.
Dalam pada itu, kerjasama sektor swasta dengan koperasi serta persatuan yang mewakili komuniti tani perlu diperkukuh bagi memastikan kecekapan pengeluaran, kelancaran rantaian bekalan dan jaminan pasaran.
Beliau memberikan contoh kerjasama Syarikat Ning Planters Sdn Bhd dengan Koperasi Kouladi Beladin dalam pembangunan tanaman nanas, yang menghubungkan usaha pengeluaran tempatan dengan kepakaran, pemprosesan dan pasaran domestik serta eksport.
Menurutnya, peningkatan pengeluaran pertanian di Beting Maro perlu disokong rantaian nilai yang menyeluruh, daripada pengumpulan dan pemprosesan kepada kemudahan logistik, pemasaran serta akses kepada pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, pembangunan Agropark Bebuling, CPPC Spaoh dan STOLport Bebuling di kawasan DUN Bukit Saban, Betong, bersama platform Statos di Singapura, Brunei Darussalam dan Kuala Lumpur, berpotensi membantu memperluas capaian produk premium tempatan ke pasaran lebih besar.
Razaili berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan hasil pertanian Beting Maro bukan sahaja meningkat dari segi kuantiti, malah mempunyai nilai komersial lebih tinggi dan mampu memberikan pulangan berterusan kepada pengusaha tempatan.
Oleh Afiq Sallehi





