DUN: Penerbangan terus Limbang-Kuching sering penuh, mohon tambah satu lagi penerbangan harian – Paulus Palu

Facebook
WhatsApp
PAULUS Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) membahas Belanjawan Sarawak (2027), 2026 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Kerajaan Sarawak dimohon mempertimbangkan penambahan satu lagi penerbangan terus harian bagi laluan Limbang-Kuching dan sebaliknya susulan permintaan tinggi sehingga tiket sering habis ditempah.

Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) berkata, ketika ini AirBorneo hanya menyediakan satu penerbangan terus sehari bagi laluan berkenaan.

“Perkhidmatan itu mendapat sambutan amat baik dalam kalangan penumpang sehingga penerbangan sering ditempah sepenuhnya.

“Sambutan kepada perkhidmatan AirBorneo terutama penerbangan terus Limbang-Kuching-Limbang telah menerima sambutan yang amat baik dan sering kali ditempah sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Paulus berharap kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan penambahan penerbangan berkenaan bagi memenuhi keperluan semasa penduduk yang menggunakan laluan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan RM25 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi memanjangkan landasan Lapangan Terbang Limbang kepada 1,790 meter.

Katanya, projek itu diharap membolehkan lapangan terbang berkenaan menerima pesawat lebih besar pada masa depan, selain meningkatkan keselamatan dan kemudahan perhubungan udara.

Beliau turut menghargai usaha kerajaan Sarawak menaik taraf lapangan terbang wilayah dan luar bandar bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan kepada penduduk.

Untuk rekod, laluan penerbangan terus Limbang-Kuching dikendalikan AirBorneo menggunakan pesawat ATR 72 dengan kekerapan tujuh kali seminggu atau sekali sehari dan tempoh perjalanan kira-kira satu jam 40 minit.

Perkhidmatan berkenaan merupakan antara laluan domestik awal yang ditawarkan AirBorneo, dengan tambang sehala Kuching-Limbang bermula RM224 bagi kelas Economy Basic ketika platform tempahan syarikat itu dilancarkan pada Disember 2025.

Oleh Masrin Affirah