DARO, 16 Oktober: Seorang lelaki cedera selepas lori dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan dua lori di jalan menuju ke pangkalan feri Kampung Semop, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, 52, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan, namun berada dalam keadaan sedar ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.03 petang.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro tiba di lokasi pada 2.31 petang.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” ujarnya.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa yang berada di dalam lori berasingan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 3.31 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
Oleh Akun Giman





