PETRA JAYA, 16 Oktober: Permohonan menaik taraf status Daerah Kecil Engkilili kepada daerah penuh sekali lagi dibangkitkan dengan harapan kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan cadangan tersebut bagi memudahkan urusan pentadbiran dan meningkatkan perkhidmatan kepada penduduk.

Dr Johnichal Rayong Ngipa (GPS-Engkelili) berharap cadangan itu dapat diberikan pertimbangan sewajarnya memandangkan perubahan status berkenaan penting untuk pembangunan kawasan tersebut.
“Saya menghargai kelulusan peruntukan berkaitan usaha menaik taraf Engkilili dan berharap urusan pentadbiran serta pelaksanaannya dapat dipercepatkan mengikut proses dan keputusan pihak berkuasa berkaitan.
“Saya ingin mengulangi permohonan ini sekali lagi supaya cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dengan segera.
“Peningkatan status pentadbiran ini bukan semata-mata perubahan nama, sebaliknya diharap dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan, meningkatkan keupayaan penyelarasan pembangunan dan memudahkan urusan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Tambah beliau, perubahan status itu juga diharap dapat menjadikan Engkilili sebagai pusat perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan kepada penduduk di kawasan sekitarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap keperluan bangunan pentadbiran, penempatan pegawai kerajaan, kemudahan kaunter perkhidmatan serta penyelarasan antara agensi turut diberi perhatian.
“Kita mahu rakyat benar-benar merasai manfaat perubahan ini, khususnya penduduk rumah panjang dan kampung yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik perancangan pembinaan stadium baharu dan Balai Bomba Engkilili yang dimaklumkan telah mendapat kelulusan peruntukan.
“Pembinaan stadium berkenaan diharap dapat menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik kepada masyarakat, selain menjadi tempat penganjuran aktiviti belia dan program komuniti.
“Sementara itu, pembinaan balai bomba pula penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kebakaran, kemalangan dan bencana, khususnya di kawasan yang mempunyai penempatan penduduk berselerak.
“Saya berharap aspek penyediaan tapak, jadual pelaksanaan, keperluan tenaga kerja dan kelengkapan operasi diberi perhatian supaya kedua-dua projek berkenaan dapat memberi manfaat kepada penduduk secepat mungkin,” ujarnya.
Johnichal turut mencadangkan supaya projek pembangunan yang telah diluluskan dipantau melalui penyelarasan berkala antara agensi pelaksana, wakil rakyat dan kepimpinan tempatan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Untuk rekod, Engkilili ketika ini berstatus daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Lubok Antu, Bahagian Sri Aman.
Permohonan menaik taraf Engkilili kepada daerah penuh bukan perkara baharu apabila Johnichal pernah membangkitkan cadangan sama pada persidangan DUN pada Mei 2024, dengan memaklumkan usaha tersebut telah dikemukakan sejak 2018.
Pada Februari 2026, Pejabat Daerah Lubok Antu turut memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf Engkilili kepada daerah penuh sedang dalam perancangan, termasuk kemungkinan mempunyai Pegawai Daerah sendiri, namun masih tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa atasan.
Oleh Masrin Affirah




