Empat maut ketika memadam kebakaran hutan di Indonesia

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan asap tebal dan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di sekitar Palangkaraya, Kalimantan Tengah. Foto AFP

JAKARTA, Indonesia: Empat individu maut ketika memadam kebakaran hutan di Pulau Jawa, Indonesia, yang menyebabkan asap toksik merebak ke seluruh Asia Tenggara sehingga memaksa penutupan sekolah dan mencetuskan peningkatan kes masalah pernafasan di rantau ini, menurut pihak berkuasa hari ini.

Kesan kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan itu mendorong Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran berkenaan sehingga menyebabkan kualiti udara di rantau ini antara yang terburuk di dunia.

Singapura sekali lagi menduduki tempat teratas dalam senarai bandar utama paling tercemar di dunia berdasarkan penarafan langsung IQAir hari ini, diikuti Kuala Lumpur di tempat kedua dan Jakarta di tempat keenam.

“Jika terdapat asas yang kukuh, kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura dan turut meneroka tindakan bersama negara lain,” kata Wong tanpa memberikan butiran lanjut.

Singapura tidak mempunyai ladang atau kawasan hutan sendiri, namun beberapa syarikat yang memiliki konsesi di Indonesia dilaporkan berpangkalan di negara kota itu.

Pakar undang-undang memberi amaran bahawa tindakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan jerebu bukan mudah kerana siasatan bergantung kepada kerjasama pihak berkuasa asing.

Singapura menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014 susulan episod pencemaran udara yang serius pada 2013, sebelum satu lagi kejadian jerebu teruk berlaku pada 2015.

Undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat yang menjalankan aktiviti di luar negara sehingga menyebabkan atau menyumbang kepada tahap jerebu tidak sihat di Singapura.

Bagaimanapun, usaha menentukan pihak yang bertanggungjawab berdepan cabaran kerana memerlukan perkongsian peta lokasi titik panas, selain pertindihan tuntutan pemilikan tanah yang merumitkan keadaan.

Siasatan Singapura terhadap empat syarikat Indonesia berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam krisis jerebu 2015 masih belum selesai. Kes itu pernah menjejaskan hubungan antara Singapura dengan Jakarta.

Pilihan tindakan undang-undang lain, termasuk kemungkinan membawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, juga dilihat sukar kerana memerlukan persetujuan Indonesia terhadap bidang kuasa mahkamah berkenaan.

– Akan lakukan segala yang termampu –

Tahap pencemaran udara Singapura meningkat kepada bacaan 251 dalam Indeks Kualiti Udara (AQI) IQAir sekitar 4.00 pagi GMT hari ini, sekali gus berada dalam kategori sangat tidak sihat.

Mengikut sistem syarikat yang berpangkalan di Switzerland itu, bacaan antara 151 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.

“Kita tidak dapat mengawal cuaca atau arah angin, mahupun mengawal secara langsung apa yang berlaku di luar sempadan negara kita,” kata Wong.

“Namun, kita akan melakukan segala yang termampu untuk melindungi rakyat Singapura, sambil bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani punca utama jerebu.”

Asap tebal itu berpunca secara langsung daripada kebakaran hutan yang turut meragut nyawa empat individu ketika mereka menjalankan operasi pemadaman di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, semalam, menurut kenyataan Kementerian Perhutanan Indonesia.

Dua lagi individu mengalami melecur serius dan kini menerima rawatan perubatan lanjut.

“Insiden ini menjadi peringatan bahawa operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah merupakan tugas berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan keselamatan anggota tetap menjadi keutamaan.

Dalam kenyataan sama, kementerian berkenaan memaklumkan peningkatan ketara jumlah titik panas di beberapa kawasan dalam enam wilayah keutamaan, dengan sebanyak 615 titik panas dikesan.

Titik panas merujuk kepada lokasi yang mencatatkan suhu luar biasa tinggi melalui pengesanan satelit, sekali gus menunjukkan kemungkinan berlaku kebakaran atau kewujudan sumber haba yang kuat. – AFP