PETRA JAYA, 16 Oktober: Kerajaan Sarawak meningkatkan peruntukan Bantuan Dana Sekolah Mubaligh sebanyak RM10 juta tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM30 juta bagi memperkukuh kemudahan pendidikan serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut, RM20 juta diperuntukkan bagi pembangunan fizikal sekolah, manakala RM10 juta lagi disalurkan untuk pelaksanaan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurutnya, tahun ini merupakan tahun keenam kerajaan negeri menyalurkan bantuan berkenaan kepada sekolah mubaligh di seluruh Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Bagi Bantuan Dana Sekolah Mubaligh Sarawak Tahun 2026 Fasa 1, sebanyak 129 cek dengan jumlah keseluruhan RM20 juta telah diluluskan untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak melalui enam badan pengurusan sekolah mubaligh (Mission Authorities),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah Mubaligh Sarawak Tahun 2026 Fasa 1 di Pejabat Timbalan Premier Sarawak, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab terhadap UNIFOR berkata, Anglican Diocese of Kuching menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM7.75 juta melibatkan 50 cek.
Ia diikuti Roman Catholic Archdiocese of Kuching sebanyak RM4.96 juta menerusi 32 cek dan Roman Catholic Diocese of Sibu sebanyak RM3.57 juta melibatkan 23 cek.
Sementara itu, Methodist Sarawak Chinese Annual Conference (SCAC) menerima RM1.40 juta menerusi sembilan cek, Methodist Sarawak Iban Annual Conference (SIAC) sebanyak RM1.24 juta melibatkan lapan cek dan Roman Catholic Diocese of Miri sebanyak RM1.09 juta menerusi tujuh cek.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua penasihat badan pengurusan sekolah mubaligh supaya memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada sekolah penerima dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh cek atau sebelum 22 Disember 2026.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sekolah tidak mengalami kelewatan.
Uggah turut mendedahkan bahawa masih ramai guru dan ibu bapa tidak mengetahui mengenai bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada sekolah mubaligh menerusi UNIFOR sejak lima tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa wakil rakyat, badan pengurusan sekolah mubaligh dan pihak pentadbiran sekolah supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan maklumat mengenai bantuan tersebut.
“Bantuan kerajaan Sarawak bukan sahaja perlu sampai kepada sekolah, tetapi maklumat mengenainya juga mesti sampai kepada guru-guru dan ibu bapa.
“Mereka perlu mengetahui bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam membantu pembangunan sekolah-sekolah mubaligh demi kepentingan pendidikan anak-anak Sarawak,” katanya.
Beliau berharap bantuan berkenaan dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, memperkasa potensi murid serta melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Oleh Norman B





