MOLEK kiranya, setelah sekian bulan pada tahun 2026 ini, sidang editorial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang terus berusaha menyaring sajak-sajak yang hendak disiarkan diberikan kalungan ucapan tahniah.
Syabas juga diucapkan kepada tiga penyajak yang menukangi sajak bertajuk “Ditawan Sepi” karya Mohamad Rosdy Dahri, “Menerpa Tenang yang Kosong” karya Syabel Hamzah dan “Lauk Semalam” karya Ratna Dewi Asmara.
Bimbingan pada kali ini akan meneliti kekuatan idea, pembinaan imej, pemilihan diksi, pengolahan metafora, struktur puisi serta kedalaman pemikiran penyajak. Kita akan menggunakan pendekatan gaya esei kritikan sastera yang menekankan renungan, hubungan manusia dengan pengalaman, alam fikir dan kebijaksanaan bahasa.
Maknanya, pendekatan kali ini memberi perhatian kepada unsur penting dalam tradisi puisi pemikiran Melayu seperti kata yang terpilih, imej yang berakar pada pengalaman, makna yang berlapis dan kebijaksanaan yang tidak perlu dilaungkan tetapi dapat dikesani oleh fakulti fikir pembaca.
Kita mulakan dengan puisi “Ditawan Sepi” sebagai naratif yang bertitik tolak daripada pengalaman batin kepada usaha menyerlahkan makna. Kita semua sudah sedia maklum bahawa puisi yang baik sering bermula daripada sesuatu yang tidak kelihatan.
Kesedihan, kehilangan, kerinduan dan gelora jiwa tidak mempunyai bentuk yang dapat disentuh tetapi semuanya mengesani kehidupan manusia. Tugas penyair bukan sekadar memberitahu pembaca bahawa dirinya sedang bersedih.
Tugas yang lebih besar adalah menemukan bentuk bahasa yang membolehkan pembaca turut merasakan kesedihan itu bahkan dapat merasakan bahawa puisi tersebut merupakan pengalaman pembaca sendiri.
Dalam “Ditawan Sepi”, Rosdy memilih sepi sebagai pusat pengalaman batin. Sepi bukan lagi sekadar keadaan tanpa suara atau ketiadaan teman. Sepi diangkat menjadi suatu kuasa yang mengurung, menekan dan mengecilkan ruang kehidupan. Hal ini dapat dilihat sejak awal puisi:
Ditawan sepi
Penjaranya adalah duka
Jeriji-jeriji resah tersusun di dada
Tiga baris ini memperlihatkan usaha Rosdy membina sebuah dunia melalui rangkaian metafora. Sepi menjadi “penawan”, duka menjadi “penjara” dan keresahan menjadi “jeriji”.
Pengalaman yang abstrak diberikan bentuk fizikal sehingga pembaca dapat membayangkan keadaan jiwa yang terkurung. Inilah antara kekuatan bahasa puisi, iaitu sesuatu yang tidak dapat dilihat diberikan rupa melalui daya imaginasi.
Dalam proses pengkaryaan ini, ternyata Rosdy terlebih dahulu menemukan imej utama sebelum membina sajak. Menjadi suatu kelaziman, penyajak pemula sering mempunyai perasaan yang kuat tetapi belum menemukan imej yang dapat menampung keseluruhan perasaan tersebut.
Akibatnya, sajak dipenuhi kata-kata yang menerangkan emosi secara langsung seperti sedih, kecewa, pilu, sengsara dan terluka. Kata-kata ini tidak salah, tetapi jika digunakan tanpa pengolahan, puisi mudah menjadi penyataan perasaan semata-mata.
“Ditawan Sepi” memberikan contoh yang lebih berkesan melalui imej “penjara”. Sebaik sahaja imej tersebut diperkenalkan, penyair mempunyai ruang untuk mengembangkannya melalui jeriji, ruang sempit, kurungan dan kesukaran melepaskan diri.
Namun, ada satu prinsip penting yang perlu difahami, iaitu metafora yang baik bukan sekadar indah yang terhad pada satu baris. Sebaliknya, metafora itu perlu membantu keseluruhan puisi berkembang. Jika “penjara” menjadi imej utama, imej-imej berikutnya wajar mempunyai hubungan yang munasabah dengan “penjara” juga.
Terlalu banyak imej daripada lingkungan yang berlainan boleh memecahkan kesatuan pengalaman. Baris “Jiwa dipukul sunyi tanpa suara” misalnya, memperkenalkan imej pukulan.
Imej ini masih dapat difahami sebagai gambaran penderitaan tetapi penyair boleh mempertimbangkan sama ada pukulan memberikan kesan yang lebih kuat daripada imej “penjara” yang sudah dibina.
Persoalannya bukan sama ada sesuatu metafora itu cantik tetapi sama ada metafora itu diperlukan. Kepada yang ingin menulis puisi, boleh terlebih dahulu memilih satu perasaan yang hendak ditulis.
Kemudian cari satu imej utama yang dapat mewakilinya. Kembangkan imej itu melalui beberapa butiran yang saling berkaitan. Selepas itu, semak setiap metafora dan tanyakan: adakah imej ini memperdalam pengalaman atau sekadar menambah dekorasi bahasa?
Dalam menukangi sajak, pengalaman peribadi boleh sahaja dijadikan sebagai pengalaman umum yang turut dialami oleh manusia lain. Dalam “Ditawan Sepi”, kita dapat perhatikan Rosdy memperlihatkan perubahan daripada kurungan batin kepada pencarian kekuatan melalui hubungan dengan tuhan: “Setiap lima waktu aku kembali kepada-Mu/Dalam tenunan takwa yang menahan rebah”.
Dalam konteks ini, pengalaman sepi tidak lagi bergerak semata-mata dalam lingkungan penderitaan. Penyair memperkenalkan amalan ibadat sebagai sumber daya untuk bertahan.
Ungkapan “tenunan takwa” juga menarik kerana takwa dibayangkan sebagai sesuatu yang terjalin, helaian demi helaian sehingga membentuk kekuatan. Imej tenunan mengandungi kemungkinan makna yang luas.
Sesuatu yang ditenun memerlukan masa, kesabaran dan susunan. Dengan demikian, ketabahan rohani tidak hadir secara tiba-tiba, sebaliknya terbina melalui amalan yang berulang dan kesungguhan jiwa.
Di sinilah Rosdy boleh memperdalam puisi yang ditanganinya. Apakah yang berubah pada diri aku setelah kembali kepada Tuhan? Adakah sepi itu berkurang atau aku menemukan kekuatan untuk hidup bersamanya?
Apakah perbezaan antara jiwa sebelum dan selepas berdoa? Soalan-soalan ini penting kerana sajak yang matang tidak hanya menyebut nilai yang baik tetapi berupaya memperlihatkan fungsi nilai tersebut dalam kehidupan manusia.
Penyajak tidak semestinya perlu memberikan jawapan yang muktamad. Kadang-kadang, pertentangan antara luka dan keimanan itulah yang menjadikan puisi terus hidup.
Doa, misalnya, tidaklah semestinya menghapuskan segala penderitaan tetapi boleh menjadi ruang untuk manusia mengumpulkan kekuatan bagi meneruskan perjalanan kehidupan.
Rosdy memanfaatkan pengulangan kata dalam puisinya. Kawalan pengulangan kata ini dapat menjadikan struktur makna lebih kukuh. Perhatikan frasa “Ditawan sepi” muncul pada permulaan kedua-dua rangkap dan diulang kembali pada penghujung baris puisi.
Pengulangan seperti ini membentuk bingkai yang mengikat pengalaman penyajak. Pengulangan dalam puisi berfungsi lebih daripada mencipta irama. Maknanya, pengulangan boleh menjadi tanda kepada pemikiran yang berulang, pengalaman yang belum selesai atau keadaan yang belum dapat dilepaskan.
Dalam puisi ini, frasa tersebut memperlihatkan bahawa pencarian kekuatan rohani belum semestinya menamatkan pengalaman sepi.
Walau bagaimanapun, penyajak perlu berhati-hati agar pengulangan tidak menjadi pengulangan makna yang sama tanpa perkembangan. Jika sesuatu frasa muncul berkali-kali, pembaca sepatutnya memperoleh pengalaman atau pengertian yang berbeza setiap kali frasa itu diulang kembali.
Penyajak boleh bertanya: adakah frasa pembuka dan penutup membawa makna yang sama? Atau setelah membaca keseluruhan puisi, pembaca memahami sepi dengan cara yang lebih mendalam?
Sebagai kesimpulan, kekuatan “Ditawan Sepi” terletak pada metafora kurungan batin, pengulangan yang membingkai pengalaman dan pertemuan antara penderitaan dengan keimanan.
Untuk menjadikannya lebih mantap, Rosdy boleh memperhalus hubungan antara imej, mengelakkan metafora yang bertindih tanpa keperluan dan memperlihatkan perkembangan batin yang lebih jelas.
Puisi yang kuat tidak sekadar menyatakan bahawa manusia menderita bahkan membawa pembaca memahami bentuk penderitaan itu dan cara manusia mencari makna di dalamnya. Teruslah berkarya, Rosdy.
Anda sedang merintis jalan untuk menjadi penyair yang memiliki pengamatan terhadap pengalaman kehidupan yang dapat memberi makna kepada orang lain.
Beralih kita ke sajak kedua, “Menerpa Tenang yang Kosong”. Sajak ini dapat dilihat sebagai suatu naratif antara kesunyian, kepura-puraan dan kebebasan diri. Membaca baris pertama hingga terakhir sajak ini memperlihatkan pengamatan Syabel Hamzah tentang manusia yang tidak selalu memperlihatkan diri yang sebenar.
Ada kalanya, wajah yang ditampilkan kepada dunia berbeza daripada kehidupan sebenar. Misalnya, senyuman yang terukir di wajah boleh menjadi sebahagian daripada tuntutan sosial, sedangkan jiwa menyimpan pengalaman yang tidak diketahui oleh orang lain. Sajak mempunyai keupayaan untuk membuka ruang antara kedua-dua keadaan ini.
“Menerpa Tenang yang Kosong” bergerak melalui pertentangan tersebut. Syabel membicarakan kekosongan, kesunyian, penghinaan dan keperluan untuk menjauhkan diri. Namun, inti pati puisinya bukan semata-mata tentang kesedihan.
Syabel turut mempersoalkan makna ketenangan dan hubungan ketenangan dengan kesendirian. Pembukaan puisi memperlihatkan persoalan tersebut: “Hanya apabila ada kekosongan/aku rasa duniaku tenang/begitu sulit untuk membezakan/tenang dengan sunyi yang kualami”.
Kekuatan bahagian ini terletak pada suatu paradoks, iaitu kekosongan yang biasanya dianggap sebagai kehilangan atau kekurangan justeru menjadi ruang ketenangan.
Syabel tidak terus memberikan kesimpulan. Sebaliknya, mengakui kesukaran membezakan ketenangan dengan kesunyian. Pengakuan ini membuka ruang tafsiran. Adakah aku benar-benar tenang atau aku sudah terbiasa dengan kesunyian?
Adakah kesendirian suatu pilihan yang membebaskan atau suatu bentuk perlindungan daripada pengalaman yang menyakitkan? Persoalan seperti ini memberikan kedalaman makna terhadap sajak kerana pembaca diajak berfikir dan bukan sekadar menerima maklumat tentang emosi penyajak.
Di sini kita dapat melihat kepentingan membina sajak daripada pertentangan yang bermakna. Salah satu cara mengembangkan pemikiran dalam sajak ialah menemukan dua keadaan yang kelihatan bertentangan tetapi sebenarnya saling berkaitan.
Dalam puisi ini, pertentangan dapat dikesani pada tenang dengan sunyi, persembahan dengan kehidupan di belakang tabir, wajah ceria dengan pengalaman dihina dan kesendirian dengan kebebasan. Pertentangan tersebut menyediakan kerangka pemikiran yang kukuh.
Sebenarnya dalam menukangi puisi, setiap rangkap puisi boleh memperlihatkan sisi yang berlainan sebelum penyajak membawa pembaca kepada renungan akhir. Penyajak pemula boleh menggunakan pendekatan ini untuk mengelakkan puisi yang bergerak secara mendatar.
Sebuah puisi tidak semestinya memerlukan banyak peristiwa, tetapi memerlukan perubahan cara melihat sesuatu perkara. Sebagai latihan, pilih satu konsep seperti keberanian.
Kemudian cari lawannya, misalnya ketakutan. Tanyakan sama ada seseorang boleh kelihatan berani kerana menyembunyikan ketakutan. Daripada pertentangan itu, bina pengalaman, imej dan persoalan.
Dengan cara ini, idea tidak berhenti pada slogan seperti “keberanian mengatasi ketakutan” tetapi berkembang menjadi penerokaan tentang sifat manusia.
Baik, kita kembali kepada “Menerpa Tenang yang Kosong”. Perhatikan bagaimana Syabel memanfaatkan imej yang berupaya menghidupkan pengalaman. Rangkap kedua puisi ini memperkenalkan dunia persembahan, iaitu “dalam persembahan/aku watak utama,/ lampu-lampu menampakkanku ceria,/ di belakangnya/aku riuh dihina”.
Imej persembahan, watak utama dan lampu membentuk satu lingkungan makna yang jelas. Kehidupan sosial dibayangkan seperti pentas; manusia memainkan peranan dan cahaya menonjolkan wajah yang mahu diperlihatkan kepada orang ramai.
Kontras “lampu-lampu menampakkanku ceria” dengan “aku riuh dihina” memperlihatkan perbezaan antara penampilan dan pengalaman sebenar.
Penyajak tidak perlu menghuraikan panjang lebar tentang kepura-puraan masyarakat kerana imej pentas telah menyediakan kerangka untuk pembaca memahami keadaan itu. Namun, terdapat ruang untuk pemantapan.
Ungkapan “aku riuh dihina” menimbulkan pertanyaan tentang maksud “riuh” dalam konteks tersebut. Adakah penghinaan itu berlaku secara terbuka atau suara penyair menjadi riuh dalam dirinya?
Jika maksudnya ialah penderitaan yang bergema dalam batin, penyair boleh mempertimbangkan imej yang lebih tepat untuk membawa makna tersebut. Di sinilah pentingnya ketelitian diksi.
Sesuatu perkataan mungkin mempunyai bunyi yang menarik tetapi perlu diuji dari segi ketepatan makna, hubungan dengan imej lain dan kesannya terhadap keseluruhan rangkap. Usah memilih perkataan semata-mata kerana kedengaran puitis, sebaliknya pilih perkataan yang paling tepat untuk pengalaman yang hendak disampaikan.
Dalam menukangi puisi, penyajak perlu memberikan ruang kepada adegan, bukan penjelasan (telling) semata-mata. Dalam rangkap ketiga, Syabel membawa pembaca daripada pengalaman sosial kepada tindak balas ini: “kurampas tisu,/berlari di hujung waktu/menyapa tenang yang sunyi”.
Tisu dan tindakan berlari ialah butiran yang lebih konkrit berbanding kata-kata abstrak seperti kesedihan atau kekecewaan. Butiran sedemikian membantu pembaca membayangkan seseorang yang sedang berusaha menguruskan perasaannya sebelum kembali kepada dunia sosial.
Sebenarnya gerak tubuh, benda kecil, bunyi dan suasana boleh menjadi pembawa emosi yang berkesan dalam sajak. Sebuah cawan yang tidak terusik, pintu yang tertutup atau kerusi kosong mungkin menyampaikan pengalaman kehilangan dengan lebih mendalam daripada penerangan yang panjang jika imej tersebut benar-benar berkaitan dengan pengalaman yang hendak dibina.
Walau bagaimanapun, butiran konkrit bukan jaminan bahawa sajak akan menjadi kuat. Butiran itu perlu mempunyai fungsi. Mengapa “tisu” dipilih? Apakah makna “hujung waktu”? Ke manakah aku berlari dan apakah yang ditemukan di sana? Penyajak tidak perlu menjawab semua soalan secara terus dalam puisi.
Namun, penyajak sendiri harus memahami hubungan antara butiran yang digunakan. Apabila hubungan itu jelas dalam fikiran penyajak, imej akan terasa lebih meyakinkan kepada pembaca. Inilah yang Syabel cuba lakukan.
“Menerpa Tenang yang Kosong” diakhiri dengan penemuan bukan sekadar pengulangan idea. Perhatikan “Hanya apabila sendirian itu tenang,/sunyi itu tenang” dan “tenang tidak bermaksud kau kesunyian”.
Baris ini mengemukakan satu rumusan, iaitu bersendirian tidak semestinya bermaksud kesunyian. Rumusan ini memberikan arah kepada seluruh sajak yang sebelumnya bergerak antara luka sosial dengan pencarian ketenangan.
Namun, Syabel boleh meneliti hubungan antara pengalaman dengan kesimpulan tersebut. Jika pembaca sudah melihat penderitaan di belakang tabir, tindakan berlari mencari ketenangan dan keputusan untuk menjauhkan diri, adakah penutup ini menambahkan lapisan makna yang baharu? Atau adakah ia menerangkan sesuatu yang telah difahami pembaca?
Dalam konteks ini, terdapat dua pendekatan yang boleh dipilih. Pertama, penutup yang menyatakan pemikiran secara langsung, seperti dalam sajak ini. Kedua, penutup yang meninggalkan pembaca dengan imej atau keadaan yang membolehkan mereka menemukan pemikiran itu sendiri.
Kedua-duanya boleh dijadikan pilihan. Pilihan bergantung pada suara penyajak dan kesan yang dikehendaki. Namun, bagi sajak yang ingin meninggalkan kesan renungan yang panjang, penyajak boleh menguji sama ada imej yang kuat mampu menggantikan sebahagian penerangan.
Kesimpulannya, “Menerpa Tenang yang Kosong” mempunyai asas pemikiran yang menarik melalui pertentangan antara penampilan dengan kenyataan serta kesunyian dengan ketenangan.
Kekuatan seterusnya boleh dibina melalui ketepatan diksi, pengembangan imej pentas secara lebih konsisten, penggunaan adegan yang lebih terpilih dan penutup yang lahir secara organik daripada ‘pengalaman sajak’.
Perlu diingat, sajak yang matang tidak perlu menjelaskan semua perkara, memadai menyediakan bukti pengalaman yang cukup untuk membolehkan pembaca menemukan makna yang dihasratkan.
Sajak yang ketiga ditangani oleh RatnaDewi Asmara. “Lauk Semalam” memperlihatkan bahawa benda-benda yang dekat dengan kehidupan harian sering menyimpan kebijaksanaan yang tidak disedari.
Makanan yang terhidang di meja, sekeping nota, duri tajam atau langkah kaki boleh menjadi titik mula kepada renungan tentang hubungan manusia, pertimbangan moral dan akibat sesuatu perbuatan.
Ternyata Ratna memilih “lauk” sebagai pusat perlambangan dan bukan sekadar makanan. “Lauk” berkaitan dengan rumah, keluarga, kecukupan, usaha, ingatan dan pengalaman hidup yang berulang. Dengan menjadikan “lauk semalam” sebagai titik mula, Ratna membawa perkara yang biasa ke dalam ruang pemikiran.
Sajak ini bermula dengan kesedaran tentang kata-kata: “Bismillah permulaan bicara/ Aku menyusun setiap bait bicara/ Aku tak ingin ada yang terluka/ Dihiris madah pujangga”.
Pembukaan ini menyatakan niat untuk berbicara secara berhati-hati. Kata-kata diakui mempunyai kuasa yang boleh menyampaikan nasihat tetapi juga boleh melukakan. Kesedaran tersebut menyediakan landasan kepada keseluruhan sajak ini, khususnya apabila nota nasihat dan lauk diperkenalkan sebagai dua unsur yang diletakkan bersebelahan.
Namun, pembukaan ini juga boleh diteliti dari segi keberkesanan. Penyair telah memberitahu bahawa dirinya mahu menyusun kata-kata agar tidak melukakan. Persoalannya, adakah niat itu lebih berkesan dinyatakan secara langsung atau dapat ditunjukkan melalui tindakan, objek dan suasana?
Tidaklah semestinya sajak mesti mengelakkan pernyataan langsung tetapi usaha mencari bentuk yang paling sesuai untuk menyampaikan ‘niat’ penyajak. Ratna ternyata mencari sajak dalam benda yang biasa.
Perhatikan pertemuan antara “nota nasihat” dengan “lauk semalam”: “Sekeping nota berbaris nasihat/ Diletakkan bersebelahan lauk semalam/ Terhidang ikhlas di atas meja/”. Imej ini mudah dibayangkan.
Ada sebuah meja, makanan dan nota yang mengandungi nasihat. Susunan benda-benda itu menimbulkan pertanyaan: apakah hubungan antara makanan dengan kata-kata yang ditinggalkan?
Di sinilah daya imaginasi penyajak dicabar. “Lauk” mungkin menjadi lambang kecukupan, ketahanan atau hasil usaha. “Nota” pula boleh mewakili pengalaman seseorang yang mahu meninggalkan pedoman.
Kedua-duanya bersebelahan tetapi membawa bentuk pemberian yang berlainan, iaitu satu mengisi keperluan jasmani dan satu lagi mengisi keperluan fikiran. Mungkin, kan?
Inilah antara pendekatan mudah dalam penghasilan sajak. Usah tergesa-gesa mencari perkara yang luar biasa atau yang jauh daripada kehidupan kita. Perhatikan benda yang biasa sehingga makna yang tersembunyi di dalamnya mula muncul.
Penyajak boleh memerhatikan periuk di dapur, kasut di muka pintu, jam yang berhenti atau sehelai kain yang telah lama digunakan. Soalannya bukan sekadar apakah benda itu tetapi apakah yang telah disaksikannya, apakah yang diingatinya dan apakah hubungan benda itu dengan kehidupan manusia. Keadaan ini mengasuh minda penyajak untuk berkreativiti mencari perlambangan.
Namun demikian, perlambangan perlu dikembangkan dengan berhati-hati. Tidak semua benda secara automatik membawa makna yang mendalam. Makna itu lahir melalui hubungan antara benda, pengalaman dan pemikiran penyajak.
Selain itu, pastikan perlambangan berkembang secara konsisten. “Lauk Semalam” meneruskan perlambangan lauk melalui beberapa sifat: “Katanya lauk itu berintikan kecukupan/Masin namun tidak membuatkan engkau teracun.
Kemudian: Katanya, lauk itu dimasak penuh keikhlasanMampu bertahan bahkan bertahun lamanya”. “Lauk” di sini menjadi lebih daripada makanan apabila dikaitkan dengan kecukupan, keikhlasan dan ketahanan. Peralihan daripada sifat makanan kepada sifat manusia membuka ruang untuk membina makna berlapis.
Namun, pembaca mungkin tertanya-tanya tentang hubungan antara lauk yang mampu bertahan bertahun-tahun dengan keikhlasan. Adakah yang dimaksudkan sebenarnya ialah nilai nasihat yang kekal atau ketahanan prinsip yang diwariskan?
Jika lauk merupakan lambang, hubungan antara sifat asal benda dengan makna kiasannya perlu cukup jelas untuk menyokong tafsiran. Perhatikan juga ungkapan “masin namun tidak membuatkan engkau teracun”.
Secara literal, masin merujuk kepada rasa makanan, manakala teracun membawa maksud bahaya. Hubungan kedua-duanya boleh menghasilkan kesan yang menarik, tetapi memerlukan konteks yang membantu pembaca memahami tujuan perbandingan tersebut.
Ratna boleh memperkukuh perlambangan dengan bertanya beberapa soalan seperti apakah sifat sebenar lauk yang menjadi asas metafora, bagaimanakah sifat itu berhubung dengan nasihat atau pengalaman hidup, adakah hubungan tersebut dapat difahami tanpa penjelasan yang terlalu panjang atau adakah setiap rangkap menambahkan makna baharu kepada lambang yang sama?
Metafora yang konsisten memberikan identiti kepada sajak. Sebaliknya, jika lambang digunakan untuk membawa terlalu banyak maksud yang tidak berhubungan, pembaca mungkin kehilangan arah.
Seterusnya dalam menukangi sajak, nasihat dan ungkapan berbentuk khutbah perlu dibezakan. Sajak Ratna ini mempunyai kecenderungan didaktik, iaitu kecenderungan untuk menyampaikan pedoman atau pengajaran. Hal ini dapat dilihat pada rangkap terakhir: “Berfikir sebelum kakimu melangkah/ Sekali kau terpijak duri tajam/ Engkau boleh membunuh seribu lautan impian”.
Pesan supaya berfikir sebelum bertindak mudah difahami. Imej “duri” pula memberikan gambaran tentang akibat yang menyakitkan apabila seseorang tersilap langkah.
Namun, frasa “membunuh seribu lautan impian” membawa imej yang besar dan dramatik, sedangkan duri ialah benda kecil yang menjadi punca kepada akibat tersebut. Perbezaan skala ini boleh menghasilkan kejutan puitis.
Penyajak perlu mempertimbangkan sama ada imej itu benar-benar memperdalam maksud atau sekadar membesarkan kesan. Mengapa lautan dipilih? Apakah hubungan antara lautan dengan impian?
Adakah “seribu lautan” memperluas gambaran kehilangan atau menjadikan maksud terlalu berlebihan? Inilah perbezaan antara sajak yang menyampaikan nasihat dengan sajak yang mengubah nasihat menjadi pengalaman imaginatif.
Dalam sajak yang didaktik, penyajak tidak hanya menyuruh pembaca berfikir, bahkan membina keadaan yang membuatkan pembaca merasakan mengapa pertimbangan itu penting.
Misalnya, nasihat tentang berhati-hati boleh diperlihatkan melalui satu tindakan kecil yang membawa kesan besar kepada hubungan manusia. Pembaca akan menemukan pengajarannya melalui pengalaman yang dibina, bukan hanya melalui arahan yang diberikan.
Sajak tidak harus membuang unsur nasihat. Sebaliknya, nasihat boleh dikaitkan dengan kehidupan melalui imej, konflik, pengalaman dan bahasa yang terpilih.
Perkembangan pemikiran antara rangkap dalam sajak adalah penting. “Lauk Semalam” menampilkan tiga tumpuan yang boleh dikenal pasti, iaitu niat untuk berbicara dengan baik, perlambangan lauk sebagai lambang nilai dan peringatan tentang akibat tindakan. Ketiga-tiganya mempunyai ‘potensi’ tetapi penyajak boleh memastikan hubungan perkembangannya lebih jelas.
Bagaimanakah niat menjaga perasaan membawa kepada nota nasihat? Mengapakah lauk menjadi lambang kecukupan dan keikhlasan? Bagaimanakah lambang itu akhirnya membawa kepada amaran tentang tindakan yang boleh memusnahkan impian?
Apabila hubungan ini dirancang dengan teliti, sajak tidak akan terasa seperti beberapa nasihat yang diletakkan bersebelahan. Setiap rangkap akan menjadi sebahagian daripada perjalanan pemikiran yang seirama.
Ratna juga boleh mempertimbangkan sama ada semua pengajaran perlu dinyatakan secara langsung. Ada kalanya satu imej yang tepat mampu menanggung beberapa lapisan makna sekali gus. Ruang yang ditinggalkan untuk pembaca berfikir bukanlah kelemahan, malah boleh menjadi sumber kekuatan sesebuah sajak.
Kesimpulannya, “Lauk Semalam” mempunyai titik mula yang dekat dengan kehidupan harian dan berpotensi mengembangkan perlambangan tentang kecukupan, keikhlasan, ketahanan serta akibat perbuatan.
Pemantapan boleh dilakukan dengan memperjelas hubungan antara lauk dengan nasihat, mengawal imej yang terlalu besar berbanding konteks dan membina perkembangan pemikiran yang lebih bersepadu.
Kebijaksanaan dalam sajak tidak hanya terletak pada apa yang dinasihatkan tetapi pada cara kebijaksanaan itu ditemukan melalui pengalaman dan bahasa. Teruslah menukangi sajak-sajak yang dekat dengan kehidupan, Ratna.
Oleh Dayang Azizah Mohd Saleh





