RM1.09 bilion perkukuh internet, infrastruktur digital Sarawak

Facebook
WhatsApp
PERTUKARAN MoU… Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi Sarawak, Elizabeth Lo dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Salim Fateh Din ketika pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif Bandar Pintar, disaksikan Menteri Komunikasi, Dato' Seri Fahmi Fadzil dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Sarawak bakal menerima pelaburan berjumlah RM1.095 bilion menerusi pelaksanaan JENDELA 2 Fasa 1 dan inisiatif Bandar Pintar bagi memperluas capaian internet serta memperkukuh infrastruktur digital, khususnya di Kuching dan kawasan lain di seluruh negeri.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, JENDELA 2 Fasa 1 di Sarawak melibatkan peruntukan RM545 juta dengan pelaksanaan enam kluster bagi meningkatkan ketersambungan internet di hampir 350 lokasi.

Menurutnya, surat setuju terima bagi pelaksanaan projek berkenaan telah diserahkan kepada syarikat terlibat hari ini, sekali gus membuka laluan kepada kerja-kerja pelaksanaan dalam beberapa bulan akan datang.

“Bagi JENDELA 2, kita rancang lebih 300, hampir 350 lokasi di seluruh Sarawak yang akan dapat menikmati internet yang lebih baik,” katanya.

DATO‘ Seri Fahmi Fadzil ketika ditemui media selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif Bandar Pintar serta memaklumkan perkembangan pelaksanaan JENDELA 2 Fasa 1 dan Program Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) di Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif Bandar Pintar di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata inisiatif Bandar Pintar yang dianggarkan bernilai RM550 juta turut dirancang bagi memperkukuh infrastruktur digital sekitar Kuching, termasuk melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan beberapa lokasi lain.

Katanya, inisiatif itu merangkumi penyediaan infrastruktur gentian optik yang dapat menyokong pelaksanaan pelbagai kemudahan bandar pintar, termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Selain itu, Sarawak turut terlibat dalam Program Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang akan menyediakan sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel dasar laut di negeri ini.

Fahmi berkata, lokasi yang dikenal pasti setakat ini ialah Bintulu, Matu dan Buntal di Kuching, dengan Bintulu antara lokasi utama bagi menyokong pembangunan pelabuhan serta kawasan sekitarnya.

Menurutnya, program SALAM akan melibatkan 10 stesen pendaratan kabel di seluruh Malaysia, termasuk tiga di Sarawak dan lima di Sabah, manakala dua lagi di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kabel dasar laut itu akan melengkapi sistem kabel dasar laut SCREAM yang sedang beroperasi bagi meningkatkan kapasiti dan kesalinghubungan rangkaian telekomunikasi.

Pelaksanaan SALAM dijangka bermula menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun depan, dengan tempoh penyiapan dianggarkan sekitar dua hingga tiga tahun.

Secara keseluruhan, pelaksanaan JENDELA 2 Fasa 1, inisiatif Bandar Pintar dan pembangunan kabel dasar laut SALAM merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesalinghubungan digital Sarawak bagi menyokong keperluan penduduk, pembangunan ekonomi serta penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam.

Oleh Afiq Sallehi