PETRA JAYA, 15 Oktober: Sarawak mencatat sejarah apabila projek karbon biru di Tanjung Manis menjadi projek pertama seumpamanya di Malaysia yang menerima Lesen Karbon Hutan, sekali gus membuka peluang baharu dalam pemuliharaan ekosistem pesisir pantai dan pembangunan ekonomi hijau.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sebanyak 11 entiti kini terlibat dalam aktiviti karbon hutan di Sarawak, melibatkan kawasan keseluruhan 278,280 hektar (687,530.9 ekar).
Daripada jumlah itu, tiga entiti telah memperoleh Lesen Karbon Hutan yang meliputi kawasan seluas 56,816.2 hektar (140,390.4 ekar).
Dua lesen baharu diberikan kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) bagi projek seluas 4,788.2 hektar (11,833.5 ekar) di Tanjung Manis, Kuala Rajang, dan Shin Yang Sdn Bhd bagi projek Jalin Forest Carbon seluas 26,353 hektar (65,107.6 ekar) di Ulu Baram.
Projek LAKIKR memberi tumpuan kepada potensi hutan bakau dalam penyerapan karbon, pemuliharaan biodiversiti pesisir pantai serta pengurusan sumber secara mampan, manakala projek Jalin menekankan penambahbaikan pengurusan dan pemuliharaan sumber hutan.
Menurut Len Talif, lapan entiti lain telah diberikan Permit Kajian Karbon melibatkan kawasan seluas 179,327 hektar (443,119.5 ekar) bagi membolehkan kajian serta penyediaan Dokumen Reka Bentuk Projek Sarawak (SPDD) dilaksanakan sebagai antara syarat mendapatkan lesen berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan aktiviti karbon hutan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Mengulas mengenai proses penjanaan kredit karbon, beliau menjelaskan bahawa pemegang lesen masih perlu memastikan projek masing-masing melepasi proses pengesahan dan verifikasi oleh badan yang diiktiraf di bawah piawaian karbon antarabangsa sebelum kredit karbon boleh dikeluarkan.
“Selepas melepasi peringkat verifikasi, projek karbon akan menerima pensijilan yang membolehkan kredit karbon dikeluarkan secara rasmi.
“Kredit ini kemudiannya boleh didaftarkan dalam pasaran karbon dan didagangkan kepada pembeli di peringkat domestik serta antarabangsa. Pada peringkat ini, projek akan mula menjana nilai ekonomi sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis penyerahan Lesen Karbon Hutan di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Len Talif turut berkata projek karbon hutan berpotensi memberikan manfaat langsung kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan dan program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan pemaju projek.
Antara peluang yang boleh diwujudkan termasuk perkhidmatan penyewaan bot, penyediaan tenaga kerja serta latihan teknikal dalam bidang penanaman semula hutan, pengurusan tapak semaian, inventori hutan, penilaian biojisim dan pengurusan sumber secara mampan.
Inisiatif berkenaan selaras dengan Teras Strategik Empat Belanjawan Sarawak 2027, iaitu Melindungi dan Mengekalkan Kelestarian Sumber Asli, serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Hutan Sarawak akan terus memperkukuh tadbir urus karbon hutan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan teknikal, selain melindungi kepentingan alam sekitar serta masyarakat setempat.
Oleh Shahrul Qaizat





