“PASS! PASS!”
Jeritan Yoyok bergema di celah-celah blok konkrit Taman Sri Harmain. Sebiji bola yang sudah lusuh bergolek di atas tanah sebelum disambut oleh Abang. Dia cuba menendang bola itu ke arah Yoyok, tetapi sepakannya tersasar lalu menghentam dinding blok.
“Abang, kalau sepak macam tu, baik sepak tin!” gelak Ayub.
Walter dan Ah Ping turut ketawa. Abang menjeling sambil mengambil semula bola. “Kau ingat kau pandai sangat?”
“Aku memang pandai,” jawab Ayub dengan wajah selamba.
“Pandai menyakat orang adalah.” Gelak tawa mereka kembali pecah.
Begitulah suasana petang di Taman Sri Harmain, sebuah kawasan perumahan yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai Flat Manok. Gelaran itu diberikan kerana kedudukannya yang tidak jauh dari sebuah kilang ayam. Bau ayam yang dibawa angin sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di situ.
Abang sebenarnya sudah lama tinggal di flat itu, tetapi dia bersekolah di kawasan yang jauh. Sebab itu dia tidak begitu mengenali budak-budak di kawasan perumahannya sendiri. Ayub, Yoyok dan Ah Ping pula sudah lama membesar di situ. Walter hanya berpindah ke kawasan rumah teres berhampiran kira-kira setahun kemudian.
Pertemuan mereka bermula kerana satu perkara yang sama, iaitu bola. Tiada seorang pun daripada mereka benar-benar hebat bermain bola pada awalnya. Abang dan Walter malah terkenal sebagai kaki bangku. Mereka pernah mencuba nasib menentang sekumpulan remaja yang lebih tua di flat itu. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 14-0.
Sejak hari itu, keputusan tersebut menjadi bahan usikan. “Jangan lupa 14-0,” kata Yoyok setiap kali Abang melakukan kesilapan. Namun ejekan itu tidak membuatkan mereka berputus asa.
Sebaliknya, mereka semakin rajin berlatih. Hampir setiap petang mereka turun ke padang kecil di belakang flat. Kadang-kadang mereka menggunakan bola pinjaman. Kadang-kadang mereka mengumpulkan duit belanja sekolah untuk menyewa gelanggang futsal. Jika tidak mampu membeli kasut, mereka berkongsi kasut dengan kawan.
“Pakai kasut aku dulu,” kata Ayub suatu petang sambil menghulurkan kasut futsalnya kepada Abang.
“Kau tak main?”
“Aku main esok.”
Abang tersenyum lalu mengambil kasut itu. “Terima kasih.”
Perkara kecil seperti itulah yang perlahan-lahan mengeratkan hubungan mereka. Namun, persahabatan mereka tidak terus berjalan lancar. Mereka semua boleh berbahasa Melayu, tetapi cara bercakap dan bergurau berbeza.
Kadangkala gurauan yang dianggap biasa oleh seorang menjadi sesuatu yang menyinggung perasaan orang lain. Abang sendiri mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan Walter yang agak pendiam. Suatu petang, Walter datang lewat ke padang. Abang yang sudah lama menunggu mula berang.
“Kita dah janji pukul lima.”
“Aku ada hal,” jawab Walter. “Hal apa?”
“Tak payah tahu.”
Jawapan itu membuatkan Abang terasa hati. “Kalau tak nak main, cakap saja.”
Walter memandangnya. “Aku kata aku datang, kan?”
Suasana tiba-tiba senyap. Ayub dan Yoyok saling berpandangan. Ah Ping yang duduk di tepi padang cuba menenangkan keadaan. “Sudahlah. Main saja.”
Petang itu mereka bermain tanpa banyak bercakap. Keesokan harinya, Walter tetap datang. Dia membawa sebiji bola baharu.
Abang memandangnya. “Untuk apa?”
“Bola kita dah botak.”
Abang tersenyum. “Terima kasih.”
Begitulah mereka belajar memahami satu sama lain. Kadang-kadang bukan melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan. Tidak lama kemudian, Abang mendapat satu idea. “Kenapa kita tak buat pertandingan futsal dalam flat?”
Ayub yang sedang minum terus memandangnya. “Pertandingan?”
“Ya. Antara budak-budak flat.” Yoyok terus bersetuju.
“Tapi kita letak had umur,” sambung Abang. “Kenapa?”
Abang memandang kumpulan remaja senior yang sedang bermain di padang sebelah. “Mereka tak boleh masuk.”
Semua ketawa. Mereka masih trauma dengan 14-0.
Beberapa hari kemudian, pasukan Harmain Junior ditubuhkan. Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh. Mereka belajar membuat hantaran, bertahan dan bermain sebagai satu pasukan. Namun latihan tidak selalunya berjalan lancar.
“Aku kata kau jaga kiri!” marah Abang apabila Ayub meninggalkan kawasannya. “Aku nak bantu serang.”
“Kalau semua orang nak serang, siapa nak bertahan?” Ayub mula meninggi suara.
“Kau ni nak jadi ketua sangat kenapa?” Abang terdiam.
Walter cuba masuk campur, tetapi Yoyok pula menyokong Ayub. “Kita main untuk suka-suka saja.”
Ah Ping menggeleng. “Kita nak menang atau nak bergaduh?”
Mereka semua terdiam. Beberapa saat kemudian, Walter ketawa. “Kalau kalah nanti jangan salahkan aku.”
“Kalau kalah, kita guna alasan 14-0.” Sambung Yoyok.
Ketegangan yang ada akhirnya pecah menjadi ketawa. Mereka kembali berlatih.
Hari pertandingan tiba. Mereka sudah bersedia sejak awal pagi. Namun apabila pertandingan bermula, satu demi satu pasukan lain menghadapi masalah. Ada yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa. Ada yang tidak datang. Ada yang tiba-tiba hilang minat. Akhirnya, Harmain Junior menjadi satu-satunya pasukan yang cukup pemain. Mereka menang. Mereka bersorak seperti baru memenangi kejohanan terbesar di dunia.
“Kita juara!”
Namun selepas beberapa minit, Ayub berkata, “Kita sebenarnya menang sebab kita saja yang cukup orang.”
Mereka semua ketawa. Kemenangan itu menjadi kenangan paling lucu dalam hidup mereka. Malangnya, keseronokan itu tidak bertahan lama. Beberapa hari kemudian, Abang dan Walter dipanggil menghadap Pengerusi Rukun Tetangga.
“Siapa yang beri kamu kebenaran buat pertandingan?”
Abang dan Walter menundukkan kepala.
“Padang ini kawasan bersama. Kalau berlaku kemalangan, siapa yang bertanggungjawab?”
Akhirnya mereka mengakui kesalahan dan berjanji tidak akan menganjurkan pertandingan tanpa kebenaran lagi. Beberapa bulan kemudian, satu kejadian yang lebih buruk berlaku. Ayub dan Ah Ping ditangkap oleh beberapa orang penduduk kerana mencuri kasut futsal. Mereka dikejar sehingga ke belakang blok. Beberapa pasang kasut bertaburan di atas tanah.
“Korang yang ambil kasut ni?”
Ayub terdiam. Ah Ping menundukkan kepala. Keadaan menjadi tegang. Beberapa orang penduduk hampir bertindak kasar sebelum Yoyok, Walter dan Abang datang.
“Jangan pukul mereka!” Mereka berjaya menenangkan keadaan. Namun, apabila mengetahui bahawa Ayub dan Ah Ping memang bersalah, tiada seorang pun daripada mereka cuba mempertahankan perbuatan itu.
“Korang dah buat salah,” kata Abang.
Ayub dan Ah Ping mengangguk.
Malam itu, mereka duduk di tepi padang. “Kita kena berubah,” kata Ayub perlahan. Mereka semua mengangguk. Kesan hukuman yang diterima Ayub meninggalkan satu parut kecil pada tangannya. Tiada siapa menyangka kesan itu suatu hari nanti menjadi tanda yang mengembalikan sebuah persahabatan yang telah lama hilang.
Tahun demi tahun berlalu. Mereka masih bermain bola, tetapi kehidupan mula berubah. Ayub, Yoyok dan Ah Ping mula memiliki motosikal sendiri. Abang dan Walter pula hanya menggunakan motosikal keluarga.
“Abang, nak tumpang?” tanya Ayub.
“Boleh.”
Namun selepas melihat cara Abang membonceng dan memotong kenderaan lain, Ayub berubah fikiran.
“Tak apalah. Aku jalan kaki. Aku takut mati.”
Mereka ketawa. Tetapi gelak ketawa itu semakin jarang kedengaran. Padang yang dahulu penuh dengan budak-budak mula sunyi. Remaja yang sebaya dengan mereka mula mempunyai minat lain. Ada yang bekerja, menyambung pelajaran atau sibuk dengan motosikal. Abang dan Walter masih datang. Kadang-kadang mereka menunggu setengah jam. Tiada siapa datang.
“Dulu nak suruh kita berhenti main pun susah,” kata Walter. “Sekarang nak cari orang main pun susah.”
Mereka tersenyum hambar. Hubungan mereka berlima mula renggang. Bukan kerana bergaduh. Mereka hanya semakin sibuk dan mempunyai kehidupan sendiri.
Kemudian, suatu hari, beberapa buah jentera berat memasuki kawasan flat. Padang itu akan dirobohkan. Kawasan tersebut akan dijadikan tempat letak kereta kerana jumlah kenderaan semakin bertambah. Berita itu membuatkan mereka berlima kembali berkumpul.
“Kita kena buat sesuatu,” kata Abang.
Mereka cuba mendapatkan sokongan penduduk. Yoyok mengumpulkan tandatangan. Walter bercakap dengan beberapa orang dewasa. Ayub dan Ah Ping turut membantu. Namun usaha mereka tidak berjaya. Pada hari jentera mula merobohkan padang, mereka berdiri bersama-sama di tepi kawasan itu.
“Takkan tak boleh buat apa-apa?” tanya Walter.
Abang hanya diam. Tiang gol diturunkan. Tanah mula digali. Garis padang yang mereka lukis dengan kaki sendiri hilang sedikit demi sedikit. Tiada siapa bercakap. Mereka sedar bahawa sesuatu yang selama ini menjadi sebahagian daripada hidup mereka sedang hilang di depan mata.
Beberapa bulan selepas itu, Abang berpindah ke kawasan perumahan lain. Walter kembali ke kampungnya. Ayub, Yoyok dan Ah Ping kekal di Flat Manok. Mereka membawa haluan masing-masing.
********
Lima tahun berlalu.
Sepuluh tahun.
Kemudian lima belas tahun.
Suatu petang, sebuah kereta elektrik memasuki kawasan Taman Sri Harmain. Seorang lelaki berpakaian kemas keluar lalu berdiri di tepi kawasan parkir. Dia memandang lama. Dahulu di situlah padang mereka. Kini hanya kenderaan yang memenuhi ruang. Lelaki itu menghela nafas.
“Yoyok…” Dia menyebut satu lagi nama. “Ah Ping…”
Tidak jauh dari situ, sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola di jalan. Dia menghampiri mereka.
“Adik, kenal Yoyok dengan Ah Ping?”
Dua orang budak mengangguk. “Kenal. Itu ayah saya.”
Mereka terus berlari pulang. Tidak lama kemudian, dua orang lelaki datang. Mereka memandang lelaki itu dengan wajah hairan.
“Siapa kau?”
Lelaki tersebut tersenyum. Dia menggulung lengan bajunya. Kelihatan satu kesan luka lama pada tangannya. Yoyok tiba-tiba terdiam. Ah Ping memandang kesan itu. Mereka teringat satu kejadian yang berlaku bertahun-tahun dahulu. Kasut futsal. Penduduk yang marah. Tiga orang sahabat datang membantu. Dan seorang budak yang pernah menerima hukuman kerana kesalahannya.
“Tak mungkin…” Yoyok menyebut nama itu perlahan. “Ayub!”
Lelaki itu ketawa. “Lama tak jumpa.”
Yoyok terus memeluknya. Ah Ping turut memeluk. Air mata mereka jatuh tanpa disedari. Malam itu mereka mencari Abang dan Walter melalui media sosial. Beberapa minggu kemudian, lima sahabat itu berkumpul di sebuah restoran di Kuching.
Mereka sudah jauh berubah. Ayub kini pemilik syarikat kontraktor yang berjaya. Yoyok menjadi pemain bola di sebuah kelab terkenal di Malaysia. Ah Ping mengusahakan perniagaan pusat hiburan. Walter pula berkhidmat sebagai Pengarah di Jabatan Perhutanan. Abang bekerja sebagai Pegawai Kedutaan di Turki.
Namun apabila duduk semeja, semua jawatan itu hilang. Mereka kembali menjadi lima orang budak Flat Manok. Mereka ketawa mengingat kekalahan 14-0. Mereka mengingati kasut pinjaman, bola daripada belon dan kemenangan Harmain Junior yang sebenarnya berlaku kerana mereka satu-satunya pasukan yang cukup pemain.
“Kita bukan hebat pun,” kata Walter.
“Jangan rosakkan kenangan,” jawab Yoyok.
Mereka ketawa lagi. Kemudian Abang menjadi serius.
“Kita patut buat sesuatu untuk budak-budak di flat.”
“Macam dulu?” tanya Ah Ping.
“Lebih daripada dulu.”
Mereka membeli sebidang tanah berhampiran Flat Manok dan membina sebuah pusat futsal.
“Harmain Futsal Centre.”
Kanak-kanak dan remaja yang tinggal di flat boleh menggunakan kemudahan itu secara percuma. Namun mereka perlu mengikuti latihan dan program pembangunan diri. Mereka bukan sahaja diajar bermain bola, malah didedahkan kepada pendidikan, kemahiran dan pelbagai pilihan kerjaya.
Bagi lima sahabat itu, mereka tidak mahu sekadar melahirkan pemain bola. Mereka mahu melahirkan manusia yang tahu ke mana arah hidup mereka. Tahun demi tahun, perubahan mula kelihatan.
Anak-anak Flat Sri Harmain mula berjaya dalam pelbagai bidang. Ada yang menjadi doktor, guru, polis, tentera, juruteknik, usahawan dan artis. Pandangan masyarakat terhadap budak flat juga berubah.
Suatu petang, kelima-lima sahabat berdiri di tepi padang baharu. Sekumpulan kanak-kanak sedang bermain. Seorang menjaga gol. Seorang bermain di pertahanan. Seorang menjadi pemain tengah.
Seorang bermain di sayap. Seorang lagi berada di hadapan gawang. Mereka semua berbeza. Namun tiada siapa mempersoalkan bangsa masing-masing ketika bermain. Yang mereka tahu ialah tugas masing-masing.
Penjaga gol menjaga gawang. Pertahanan menghalang serangan. Pemain tengah menghubungkan permainan. Pemain sayap membuka ruang. Penyerang mencari peluang. Tidak seorang pun mampu menguasai seluruh padang seorang diri.
Abang memandang sahabatnya. “Dulu kita ingat bola yang satukan kita.”
Yoyok tersenyum. “Rupanya bukan.”
“Bola cuma buat kita berjumpa,” sambung Ayub.
Walter memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain. “Yang buat kita kekal ialah kita belajar terima kekurangan masing-masing.”
Ah Ping mengangguk. “Dan belajar main ikut peranan.”
Di tengah padang, seorang pemain menghantar bola kepada rakannya. Bola itu bergerak dari kaki ke kaki sehingga sampai kepada penyerang yang terus menjaringkan gol. Sorakan bergema.
Lima sahabat itu tersenyum. Mereka akhirnya memahami sesuatu yang dahulu tidak pernah mereka fikirkan. Dalam sebuah pasukan, tidak semua pemain boleh menjadi penyerang. Tidak semua orang boleh menjadi penjaga gol. Setiap orang mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Begitu juga sebuah negara.
Yang penting bukan siapa yang paling banyak menjaringkan gol. Yang penting ialah semua orang memainkan peranannya. Abang memandang semula padang itu. Padang lama mereka sudah lama hilang, tetapi daripada kehilangan itulah mereka belajar menghargai sesuatu yang dahulu dianggap biasa.
Kini, mereka membina padang baharu. Bukan untuk menghidupkan semula masa lalu, tetapi untuk memberikan masa depan kepada generasi yang seterusnya. Bola terus bergolek di tengah padang. Kali ini, tiada siapa bermain seorang diri.
Oleh Muhamad Nazrul Zawawi





