PETRA JAYA, 13 Oktober: Perkhidmatan pelayaran sungai Borneo River Cruise yang menawarkan perjalanan menyusuri Sungai Rajang dari Sibu ke Kapit dan kawasan sekitarnya dijangka memulakan operasi pada suku pertama 2027.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif sektor swasta yang dilancarkan sempena pameran pelancongan ITB Berlin tahun ini akan menawarkan pakej pelayaran selama beberapa hari.
“Perkhidmatan itu bakal mengetengahkan keunikan warisan budaya masyarakat tempatan, khususnya kehidupan di rumah panjang, makanan tradisional, kraf tangan serta tarikan alam semula jadi dan aktiviti pengembaraan di sepanjang laluan.

“Inisiatif ini juga akan membantu mempromosikan warisan budaya Baleh, selain membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menikmati manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.
Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan mengetengahkan dua acara utama Baleh, iaitu Baleh-Kapit Raft Safari dan Ekspedisi Bukit Mabong sebagai aktiviti tambahan kepada penumpang Borneo River Cruise.
“STB juga akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan bagi menyediakan pakej lawatan lanjutan dari Kapit ke Baleh supaya masyarakat di kawasan hulu Sungai Rajang turut mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
“Bagi mempersiapkan masyarakat tempatan menerima kedatangan pelancong, kementerian bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan terus menggalakkan penyertaan dalam Program Pengalaman Inap Desa Malaysia.
“Usaha meningkatkan kemahiran penduduk dalam bidang hospitaliti, khidmat pemandu pelancong dan penyediaan pakej pelancongan juga akan diteruskan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak komited memperkukuh sektor pelancongan Baleh dengan memanfaatkan keindahan sungai, hutan hujan tropika, kawasan tanah tinggi, biodiversiti serta warisan budaya masyarakat rumah panjang.
“Kerajaan turut mempertimbangkan sokongan tambahan bagi pembangunan infrastruktur pelancongan termasuk jalan masuk, jeti, papan tanda dan kemudahan keselamatan, tertakluk kepada keutamaan serta kemampuan kewangan negeri,” ujarnya.
Untuk rekod, Ekspedisi Bukit Mabong dan Baleh-Kapit Raft Safari merupakan antara acara pelancongan yang disenaraikan dalam Kalendar Acara Sarawak serta menerima sokongan kementerian menerusi Geran Acara dan Pesta.
Oleh Masrin Affirah



