KUCHING: Kerajaan memberi lampu hijau kepada SEDC Energy Sdn Bhd untuk menjalankan sendiri penjualan petrol dan diesel secara hiliran, untuk bertindak sebagai syarikat minyak penuh dan melaksanakan aktiviti penjualan di bawah jenama sendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah satu keputusan yang baik kerana pasaran minyak dan gas hiliran di negara ini sangat luas.
Katanya, ini juga akan meningkatkan daya saing dalam industri ini yang kesan positifnya dari aspek kualiti produk dan perkhidmatan akan dialami oleh rakyat.
“Pada masa yang sama juga, keterlibatan SEDC selaku entiti pelaburan milik Kerajaan Sarawak dalam perniagaan hiliran ini dilihat akan menjana pendapatan kepada Sarawak serta meningkatkan penglibatan Sarawak dalam industri minyak dan gas yang sangat besar dan merupakan antara penyumbang utama kepada KDNK negara.
“Saya juga melihat keputusan kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak yang terbaharu di negara ini sebagai bukti keyakinan terhadap kemampuan Kerajaan Sarawak dan SEDC dalam penglibatan perniagaan borong dan runcit minyak petroleum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pengecualian selian Gas Petroleum Cecair (LPG) Sarawak dan kebenaran SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak baharu di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Nanta berkata, kedua-dua perkara ini mencerminkan hubungan istimewa antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di mana hubungan yang istimewa ini terjalin dari aspek tradisi, ekonomi dan sosial yang telah terjalin sekian lama.
Menurutnya, kedua-dua perkara ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi serta kekuatan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menjadi pemacu utama dalam usaha merealisasikan kedua-dua perkara ini.
“Kedua-dua perkara ini juga merupakan simbol undi keyakinan ke atas keupayaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri dalam memacu kemajuan Sarawak, demi kebajikan rakyat.
“Saya berharap agar kedua-dua perkara ini akan menjadi pemangkin kepada kerancakan aktiviti perdagangan domestik bagi meningkatkan ekonomi Sarawak khususnya serta Malaysia secara amnya seiring dengan Pelan Pemulihan Negara.
“Untuk mencapai perkara ini, KPDNHEP sentiasa komited dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk meneroka peluang dan potensi yang ada, bukan sahaja dalam ruang lingkup industri minyak dan gas, tetapi juga dalam industri-industri lain yang berada di bawah seliaan serta bidang kuasa KPDNHEP,” ujarnya.
Jelasnya lagi, hasil daripada perbincangan terperinci, Mesyuarat Majlis Khas Bagi Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 13 April 2021 yang dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah serta Menteri-Menteri Persekutuan telah bersetuju supaya pengecualian daripada memperoleh Kebenaran PDA dan Lesen CSA diberikan kepada pemegang lesen DGO di Sarawak berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021.