PETRA JAYA, 12 Oktober: Sisa sagu berpotensi dijadikan gas memasak hijau untuk kegunaan penduduk luar bandar menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan yang sedang dilaksanakan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan antara penyelidikan yang dijalankan oleh CRAUN Research bagi menghasilkan produk baharu daripada sumber tempatan.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20.8 juta kepada CRAUN Research menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi membiayai operasi serta penyelidikan dan pembangunan huluan dan hiliran.
“Ini termasuk usaha menukarkan sisa sagu kepada gas memasak hijau untuk masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.
Mengulas lanjut, penyelidikan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memanfaatkan sisa industri sagu untuk menghasilkan sumber tenaga alternatif yang boleh digunakan oleh masyarakat luar bandar.
Bagaimanapun, belum dinyatakan bila hasil penyelidikan tersebut dijangka dapat digunakan oleh penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM7 juta kepada Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah pada 2027.
Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah





