PETRA JAYA, 12 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan komitmen RM1 bilion untuk mentransformasikan industri padi bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras import menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, sektor pertanian terus menjadi pemacu strategik kepada keterjaminan makanan, pewujudan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030 menerusi usaha memperluas kawasan penanaman padi, menyediakan infrastruktur pertanian moden serta meningkatkan penggunaan teknologi dan mekanisasi.
Bagi 2027, sebanyak RM20.47 juta diperuntukkan untuk memperluas pengeluaran padi di zon pertanian utama di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, sebanyak 14,000 hektar tanah telah dikenal pasti untuk pembangunan tanaman padi yang disokong kemudahan pengairan dan saliran moden.

Fasa pertama pembangunan itu akan bermula pada 2027, melibatkan tujuh kawasan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 2,000 hektar.
Pelaksanaan projek berkenaan akan menggunakan Model Pembangunan Awam-Swasta bagi memastikan pembangunan infrastruktur, penyediaan benih, penggunaan mekanisasi serta peningkatan kemahiran petani dapat dilaksanakan secara bersepadu.
Dalam sektor penternakan pula, kerajaan menyasarkan tahap sara diri daging lembu sebanyak 25 peratus menjelang 2030, dengan peruntukan RM24.57 juta bagi pembangunan industri berkenaan.
Daripada jumlah itu, RM18.5 juta disediakan untuk mendapatkan baka ternakan berkualiti, RM3.37 juta bagi program pembangunan ternakan komersial, RM2.25 juta untuk pembangunan stesen ternakan dan RM450,000 bagi khidmat pengembangan serta promosi penternakan.
Kerajaan turut memperuntukkan RM500,000 pada 2027 bagi menyokong pembangunan makanan ternakan alternatif menggunakan biojisim kelapa sawit dan larva ‘Black Soldier Fly’, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import serta kos pengeluaran.
Bagi mempercepat penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, sebanyak RM27.75 juta diperuntukkan untuk pembangunan Taman Pertanian Pintar dan Pertanian Tepat, termasuk SARTECH di Semenggok serta taman pertanian tepat di Sungai Sebiew, Kabuloh dan Rampangi.
Peruntukan itu turut meliputi penggunaan aplikasi Internet Benda (IoT) dalam sektor penternakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan pengeluaran.
Selain itu, RM22.6 juta disediakan untuk pembangunan infrastruktur pertanian utama, termasuk taman akuakultur dan Kluster Makanan Metropolitan di Opar bagi menghubungkan rantaian pengeluaran dari ladang hingga ke pasaran.
Kerajaan turut memperuntukkan RM53.4 juta bagi pembangunan infrastruktur luar bandar dan perlindungan kawasan pesisir, merangkumi RM45 juta untuk infrastruktur pertanian, RM5.1 juta bagi jalan ladang serta RM3.3 juta untuk menyiapkan jeti Pusat Pertumbuhan Luar Bandar Beladin.
Sebanyak RM4 juta lagi disediakan bagi membangunkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) serta terminal agromakanan baharu di lokasi strategik pengeluaran makanan.
Pada masa sama, RM32.87 juta diperuntukkan untuk projek perlindungan sungai dan pesisir pantai bagi melindungi komuniti luar bandar serta kawasan pertanian.
Bagi menyokong pengusaha kecil dan agropreneur, sebanyak RM15.62 juta disediakan untuk pembangunan tanaman, pendidikan pertanian, mekanisasi ladang, Pertubuhan Peladang Kawasan, penternakan dan akuakultur.
Dalam pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sebanyak RM32.5 juta melalui pembiayaan pinjaman Kerajaan Persekutuan diperuntukkan kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) pada 2027 bagi penanaman semula kelapa sawit di kawasan seluas 8,300 hektar dan pembukaan kawasan tanaman baharu seluas 6,400 hektar.
Kerajaan turut memperuntukkan RM2 juta untuk mempercepat pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 kepada peserta SALCRA.
Keseluruhan inisiatif itu mencerminkan usaha Sarawak memperkukuh kapasiti pengeluaran makanan tempatan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan membina rantaian bekalan makanan yang lebih berdaya tahan menjelang 2030.
Oleh Afiq Sallehi





