KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, disokong oleh sentimen positif susulan reaksi pasaran terhadap Belanjawan 2027 dan kenaikan semalaman di Wall Street, apabila saham teknologi meningkat semula dan penurunan harga minyak mengimbangi sentimen pengguna Amerika Syarikat (AS) yang lemah.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.10 mata atau 0.31 peratus kepada 1,613.55 daripada 1,608.45 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 3.34 mata kepada 1,611.03.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 251 berbanding 200 manakala 383 kaunter tidak berubah, 1,993 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 340.29 juta unit bernilai RM181.54 juta.
Hong Leong Investment Bank memaklumkan Belanjawan 2027 yang disifatkannya sebagai mesra rakyat, mengimbangi perlindungan sosial, inisiatif pertumbuhan dan konsolidasi fiskal, dengan defisit fiskal diunjurkan menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.6 peratus pada 2026.
Menurut bank pelaburan itu, sektor pengguna dan hartanah merupakan penerima manfaat utama manakala sektor minyak dan gas serta sektor berteraskan buruh menghadapi tekanan kos daripada kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa pada Jun 2027.
“Kami melihat belanjawan ini ‘untuk rakyat biasa berbanding golongan elit Malaysia’ dan menjangka reaksi pasaran yang sederhana.
“Ketegangan geopolitik, hasil bon dan harga tenaga yang tinggi, selain ketidakpastian mengenai pilihan raya, akan terus mengekalkan premium risiko, mendorong pasaran berada dalam jajaran kecil,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat sembilan sen kepada RM9.90, Public Bank menambah lima sen kepada RM4.62 serta CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing naik enam sen kepada RM7.32 dan RM12.94.
Bagaimanapun, IHH Healthcare menurun tiga sen kepada RM7.87.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI tidak berubah pada 8.5 sen, VS Industry naik 1.5 sen kepada 36 sen dan Nationgate meningkat lima sen kepada RM2.16. Genting menurun 26 sen kepada RM1.62 dan Dagang NeXchange berkurangan setengah sen kepada 51.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Vitrox menambah 16 sen kepada RM11.16, Azam Jaya meningkat 15 sen kepada RM1.10, Hong Leong Bank dan Hong Leong Financial, masing-masing naik 12 sen kepada RM21.60 dan RM17.42 serta Malayan Cement menokok 10 sen kepada RM5.65.
Kaunter paling rugi termasuklah Kuala Lumpur Kepong menurun 28 sen kepada RM20.34, AME REIT berkurangan 10 sen kepada RM1.52 serta Genting Malaysia dan Mulpha International, masing-masing menyusut sembilan sen kepada RM1.40 dan RM2.65.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menurun 4.10 mata kepada 17,679.01, Indeks FBM Emas meningkat 27.51 mata kepada 12,126.34. Indeks FBM Top 100 naik 27.01 mata kepada 11,898.41, Indeks FBM Emas Shariah menokok 10.14 mata kepada 12,139.93 dan Indeks FBM ACE meningkat 4.31 mata kepada 5,658.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 141.99 mata kepada 18,566.81 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.16 mata kepada 180.91. Indeks Tenaga naik 1.24 mata kepada 839.81 manakala Indeks Perladangan menurun 38.09 mata kepada 8,852.17. – Bernama





