LIVERPOOL, United Kingdom: Manchester City mengetepikan ancaman hukuman berat yang mungkin dikenakan terhadap kelab itu apabila menewaskan Liverpool yang beraksi dengan 10 pemain, 3-0 dalam perlawanan pertama mereka sejak didapati bersalah atas lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Gol pada separuh masa kedua menerusi Erling Haaland, Jeremy Doku dan Rayan Cherki memastikan City meneruskan rekod kemenangan sempurna di bawah kendalian Enzo Maresca selepas Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah susulan dua kad kuning
Kemenangan itu membolehkan City kembali melebarkan kelebihan tiga mata di puncak liga, namun masa depan cabaran kejuaraan mereka bergantung kepada keputusan rayuan kelab berhubung pelbagai pelanggaran peraturan kewangan
“Kami perlu belajar bagaimana menangani gangguan dari luar, tetapi pada masa sama mencipta kegemilangan sendiri dengan memenangi perlawanan,” kata Maresca.

“Penyokong kami menyanyi pada penghujung perlawanan, jadi sorakan itu datang daripada pihak kami sendiri.”
Sebuah suruhanjaya bebas mendapati City dan pemiliknya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengatur urus niaga palsu bagi meningkatkan pendapatan secara tidak sah serta mengurangkan kos melebihi £900 juta (RM4.87 bilion) antara 2009 hingga 2018
Setakat ini, belum ada hukuman dijatuhkan, namun City berdepan kemungkinan pemotongan mata yang besar atau penyingkiran daripada liga utama England sekiranya gagal membatalkan keputusan berkenaan menerusi proses rayuan
Terdapat juga spekulasi bahawa tindakan secara retrospektif boleh diambil, termasuk menarik balik kejuaraan yang pernah dimenangi kelab itu.
“Ketidaktentuan ini tidak baik untuk sesiapa pun,” kata pengendali Liverpool, Andoni Iraola.
Pelbagai pelanggaran peraturan EPL itu berlaku ketika City memenangi tiga kejuaraan liga serta beberapa trofi lain.
Bagaimanapun, pencabar City percaya perbelanjaan yang menyalahi peraturan sepanjang tempoh tersebut turut menjadi asas kepada era kegemilangan kelab di bawah bekas pengurus, Pep Guardiola, yang meninggalkan pasukan pada penghujung musim lalu.
Liverpool antara kelab yang paling terkesan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang City sebanyak tiga kali dalam tempoh 12 tahun lalu.
“City pada asasnya telah menipu untuk memenangi kejuaraan liga tersebut,” kata seorang guru berusia 48 tahun, Jamie Gallaghie, kepada AFP.
City tiba di Anfield dengan kawalan pengiring polis berikutan jangkaan sambutan bermusuhan daripada penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, tiada insiden keganasan berulang seperti yang berlaku pada 2018 apabila bas pasukan City dibaling botol menjelang pertemuan Liga Juara-Juara.
Penyokong rasa dikhianati
Penyokong Liverpool memenuhi jalan raya untuk menyambut ketibaan pemain City dengan laungan yang menuduh kelab itu menipu dan bakal tersingkir daripada liga
Gerai jualan barangan penyokong turut dipenuhi bendera dan selendang yang mempersendakan skandal kewangan City.
Di bahagian tempat duduk terkenal, The Kop, di belakang salah satu pintu gol, sepanduk yang dipamerkan membawa mesej bahawa satu generasi penyokong telah ditipu.
Pertembungan antara City kendalian Guardiola dan Liverpool di bawah Jurgen Klopp sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi antara aksi paling dinantikan dalam EPL.
Namun, ketika perhatian dunia tertumpu kepada perlawanan itu, Liverpool gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan di atas padang.
Pilihan pemain pengendali baharu Liverpool, Iraola, terhad berikutan kecederaan Dominik Szoboszlai, Alexander Isak dan Cody Gakpo.
Kekalahan itu merupakan yang pertama buat jurulatih dari Sepanyol berkenaan sejak mengambil alih kendalian The Reds.
Pengambilalihan City oleh pelabur yang disokong Abu Dhabi pada 2008 mengubah kelab tersebut daripada pasukan pertengahan liga kepada kuasa dominan dalam bola sepak England.
Kekuatan kewangan City jelas terserlah dan membantu mengubah corak permainan apabila Maresca membawa masuk Doku sebagai pemain gantian pada awal separuh masa kedua.
Beberapa minit kemudian, pemain sayap Belgium itu dijatuhkan oleh Gravenberch, yang menerima kad kuning kedua dalam keputusan pengadil yang dianggap agak keras.
Liverpool gagal bangkit selepas kehilangan seorang pemain.
Percubaan Doku yang terkena pemain lawan kemudian disambar Haaland untuk membuka jaringan ketika perlawanan berbaki 25 minit, sekali gus membuka laluan kepada kemenangan besar City.
Tiga minit kemudian, Doku sendiri menghasilkan jaringan menarik menerusi rembatan lencong yang menerjah penjuru atas gawang.
Cherki melengkapkan kemenangan selepas melakukan gerakan satu-dua yang kemas bersama Josko Gvardiol sebelum melepaskan rembatan rendah melepasi penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga kesembilan liga, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu.– AFP





