KAPIT, 11 Oktober: Sebanyak RM217,600 disalurkan kepada 26 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab serta pertubuhan komuniti di kawasan Parlimen Kapit.
Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sumbangan itu bertujuan membantu organisasi terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti dan program demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Menurutnya, bantuan berkenaan merangkumi keperluan pentadbiran dan pengurusan rumah panjang, pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, program kebajikan serta penyediaan kemudahan asas komuniti.
“Antara bantuan yang disalurkan termasuk sokongan kepada aktiviti JKKK dan persatuan, program pendidikan dan sukan, pembelian peralatan pentadbiran serta pembinaan kemudahan seperti tandas awam.
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan organisasi terlibat, sekali gus membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan demi kepentingan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Parlimen P.215 Kapit yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya mengingatkan semua JKKK dan persatuan supaya sentiasa mengutamakan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam pengurusan bantuan yang diterima.
Katanya, kerjasama erat dalam kalangan ahli jawatankuasa dan persatuan amat penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah mengikut keperluan serta tujuan ditetapkan.
“Bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi juga satu amanah dan tanggungjawab bersama untuk terus memperkukuh pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di Kapit,” tegasnya.
Beliau berharap semua penerima memanfaatkan sumbangan berkenaan sebaik mungkin bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat setempat.
Oleh Akun Giman



