KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukan untuk membina dan menyelenggara kuarters penjawat awam termasuk polis, doktor, tentera, guru dan bomba, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peranan Bahagian Pengurusan Hartanah dinaik taraf kepada Jabatan Hartanah Negara bagi memperkukuh pengurusan perumahan penjawat awam.
“Penghargaan setulusnya kepada 1.6 juta penjawat awam atas jasa bakti dalam melunas amanah Berkhidmat Untuk Negara. Mereka penggerak tekad MADANI untuk mengangkat martabat, darjat dan harakat negara ini ke mercu jaya,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dibina di Skudai, Johor serta kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap di Perak dan Papar, Sabah yang memanfaatkan hampir 900 anggota dengan kos lebih RM500 juta.
Beliau berkata kadar elaun bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bomba bantuan, sukarelawan polis dan sukarelawan pertahanan awam akan dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM339 juta itu akan memanfaatkan hampir 50,000 sukarelawan.
Anwar berkata bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal one-off ditingkatkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk tempoh perkhidmatan.
“Ini merupakan tambahan selain faedah Ex-Gratia Waris Bulanan bagi kes kematian akibat kemalangan bencana kerja yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026,” kata Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat one-off secara Khas untuk Penyandang kepada 12,000 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) untuk mengiktiraf pegawai cemerlang yang menunggu untuk dinaikkan pangkat susulan perjawatan yang terhad.
Anwar bekata kerajaan turut bersetuju menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari daripada 360 hari.
“Bermakna, kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari setiap kelahiran. RM20 juta disediakan bagi menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan,” kata beliau.
Anwar berkata kadar pencen terendah pula akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan yang memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan. – Bernama



