KUCHING, 9 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menggesa kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dan wakil industri bagi menangani keperluan operasi serta menyokong pertumbuhan berterusan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, penyediaan perkhidmatan asas yang cekap serta tindakan susulan terhadap isu tertunggak amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur.
Menurutnya, Sama Jaya memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak melalui kemasukan pelaburan dan penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Kita mahu syarikat yang beroperasi di Sama Jaya terus berkembang dan mempunyai keyakinan untuk memperluas operasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian Sama Jaya (IPMC) yang berlangsung di MBKS, di sini.
Wee berkata, bekalan air, infrastruktur dan perkhidmatan agensi berkaitan memberi kesan langsung terhadap kelancaran operasi harian sektor perindustrian.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara MBKS dan Persatuan Syarikat Industri Elektronik dan Sokongan Sarawak (SECA) dalam mengenal pasti isu yang dihadapi pemain industri serta menyelaraskan tindakan penyelesaian.
Katanya, kerjasama tersebut turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak melalui usaha menarik pelaburan, menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan menyediakan peluang pekerjaan.
Beliau turut menggesa jawatankuasa berkenaan meneliti isu tertunggak, mengenal pasti punca kelewatan serta menetapkan tindakan susulan yang jelas bagi setiap agensi bertanggungjawab.
Mesyuarat itu turut merangkumi taklimat Sarawak Water mengenai pengurusan bekalan air dan perancangan infrastruktur, manakala Jabatan Alam Sekitar memberi penerangan berkaitan pematuhan peraturan alam sekitar serta pemantauan efluen.
Wee menegaskan, MBKS akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pertumbuhan industri Sama Jaya berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir, Naib Presiden SECA, Kho Hui Hui; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Lo Sheau Sia serta wakil agensi kerajaan dan sektor industri.





