KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) akan ditambah kepada RM270 juta bagi menyokong usaha negeri memelihara khazanah alam serta menggalakkan kegiatan ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan RM65 juta turut disediakan, antaranya untuk memanfaatkan kira-kira 2,500 renjer komuniti daripada kalangan Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis bagi melindungi khazanah biodiversiti negara.
“Peruntukan itu termasuk pembinaan dan penyelenggaraan pos renjer bagi tujuan rondaan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata RM15 juta daripada dana kutipan ses industri sawit pula akan dimanfaatkan untuk pemuliharaan alam, dengan keutamaan melindungi habitat terancam seperti harimau Malaya, gajah Borneo dan orang utan.
Bagi melindungi hidupan marin, beliau berkata ikhtiar pembelian pukat lama akan diperkenalkan supaya tiada lagi pukat lama terbiar sehingga membahayakan hidupan berkenaan.
Anwar turut memaklumkan sistem pembetungan awam yang terlalu usang di Pulau Tuba, Langkawi, Redang dan Tioman akan dinaik taraf segera.
Perdana Menteri berkata Malaysia berjaya mengekalkan hampir 18 juta hektar kawasan berhutan, bersamaan 54.4 peratus daripada keluasan tanah negara, selaras dengan komitmen mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.
Beliau berkata sehingga 2025, hampir 4,000 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau serta spesies yang sesuai. – Bernama





